KUALA LUMPUR 14 Julai – Perak Corp Berhad berdepan tuntutan jaminan korporat berjumlah hampir RM9 juta selepas syarikat bersekutu yang dimiliki 49% olehnya gagal menjelaskan bayaran balik pembiayaan sebanyak RM18.36 juta kepada Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV).
Bagaimanapun, syarikat yang berada di bawah status Amalan Nota 17 (PN17) itu berkata, kemungkiran oleh Suaconcept Pro Sdn. Bhd. dijangka tidak memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan kumpulan atau menjejaskan pelaksanaan pelan penyusunan semula yang telah diluluskan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Perak Corp berkata, MDV menerusi peguamnya telah mengeluarkan notis penamatan kepada Suaconcept pada 6 Julai lalu dengan menarik balik kemudahan pembiayaan projek itu serta menuntut pembayaran balik baki hutang berjumlah RM18.36 juta setakat 30 Jun 2026.
Perak Corp berkata, syarikat itu turut menyediakan jaminan korporat yang tidak boleh ditarik balik dan tanpa syarat bagi kemudahan pembiayaan tersebut, mengikut pegangan ekuiti tidak langsungnya sebanyak 49% dalam Suaconcept.
Sehubungan itu, pada 7 Julai, MDV turut menyerahkan notis penamatan kepada Perak Corp yang menuntut bayaran sebanyak RM8.997 juta, bersamaan 49% daripada jumlah hutang tertunggak Suaconcept setakat 30 Jun.
Cadang pelan pembayaran berstruktur
Susulan perbincangan dengan MDV, Perak Corp berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan pelan pembayaran balik secara berstruktur pada 10 Julai.
Sebagai maklum balas, MDV telah menangguhkan pelaksanaan notis berkenaan terhadap Perak Corp selama 30 hari bagi membolehkan kedua-dua pihak meneruskan perbincangan untuk memuktamadkan penyelesaian.
Perak Corp berkata, Suaconcept bukan merupakan syarikat bersekutu utama kumpulan dan pelaburannya dalam syarikat itu telah dirosot nilai sepenuhnya, manakala peruntukan kerugian yang bersesuaian berkaitan kontrak jaminan kewangan tersebut telah diiktiraf dalam tahun-tahun kewangan terdahulu.
“Sehubungan itu, kemungkiran tersebut tidak menimbulkan sebarang rosot nilai tambahan atau kesan kewangan material terhadap penyata kewangan disatukan syarikat,” katanya.
Perak Corp turut memaklumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, PCB Equity Sdn. Bhd., telah memeterai perjanjian jual beli saham pada Mei 2022 untuk melupuskan keseluruhan pegangan 49% dalam Suaconcept pada harga RM12.5 juta.
Harga jualan tersebut telah diterima sepenuhnya, manakala penyempurnaan urus niaga masih tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat yang masih berbaki oleh pembeli.
Pelan keluar PN17 kekal mengikut jadual
Perak Corp berkata, kemungkiran itu dijangka tidak memberi sebarang kesan buruk yang material terhadap operasi perniagaan, kedudukan kewangan atau kesinambungan operasi kumpulan.
Malah, syarikat itu kekal yakin dapat mencapai persetujuan penyelesaian dengan MDV.
“Walaupun berlaku kemungkiran ini, pelaksanaan pelan penyusunan semula PN17 yang telah diluluskan tidak akan terjejas dan kekal mengikut jadual,” katanya.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, keuntungan bersih Perak Corp melonjak kepada RM6.86 juta berbanding RM132,000 pada tempoh sama tahun lalu.
Hasil pula meningkat 63.9% kepada RM61.08 juta daripada RM37.26 juta, didorong sumbangan lebih kukuh daripada segmen pelabuhan dan logistik serta pembangunan hartanah, selain pembalikan rosot nilai berikutan peralihan syarikat kepada asas usaha berterusan (*going concern*).
Pada Januari lalu, Bursa Malaysia meluluskan cadangan pelan penyusunan semula Perak Corp, sekali gus membuka laluan kepada kumpulan itu untuk melaksanakan pelan penstrukturan pelbagai aspek bagi keluar daripada status PN17.
Pelan tersebut merangkumi pengurangan modal, pelupusan tanah, projek pembangunan bersama, penyelesaian hak manfaat serta penerbitan saham keutamaan boleh tebus bagi menyusun semula obligasi hutangnya. - DagangNews.com








