Penyahsenaraian FGV satu permulaan baharu, fokus integriti dan pertumbuhan bersama Felda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penyahsenaraian FGV satu permulaan baharu, fokus integriti dan pertumbuhan bersama Felda

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Penyahsenaraian FGV Holdings Bhd daripada Bursa Malaysia pada Khamis ini adalah satu permulaan baharu bagi gergasi perladangan negara itu beroperasi dengan lebih lincah serta memperkukuh peranannya sebagai peneraju terunggul dalam industri perladanagn kelapa sawit.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman berkata, langkah penyahsenaraian itu bukan penamat kepada kisah pertumbuhan syarikat sejak disenaraikan pada 2012, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada perjalanan transformasi yang akan memacu nilai jangka panjang lebih kukuh kepada para pemegang taruh.

 

“Ini adalah langkah strategik yang memperkukuh penyelarasan kami dengan Felda. Ia meletakkan kami untuk memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan, kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai jangka panjang buat pemegang taruh.

 

“Kami kekal komited untuk bergerak maju bersama Felda demi manfaat pekerja, peneroka serta komuniti yang kami berkhidmat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Penyahsenaraian rasmi FGV akan berlaku pada jam 9 pagi, 28 Ogos 2025, selepas Felda berjaya memperoleh 94.97% pegangan dalam syarikat itu pada penutupan tawaran pengambilalihan tanpa syarat pada 15 Ogos lalu, yang membawa kepada penggantungan dagangan saham FGV pada 22 Ogos.

 

Felda turut mengeluarkan notis kepada pemegang saham yang menolak tawaran dan memberi tempoh sehingga 15 Januari 2026 untuk mereka menjual baki pegangan pada harga RM1.30 sesaham.

 

Fakhrunniam berkata, FGV juga memberi komitmen teguh bahawa integriti, tadbir urus dan ketelusan akan kekal teras dalam perjalanan transformasinya, dengan memastikan setiap keputusan berpaksikan akauntabiliti, kepercayaan serta kepentingan jangka panjang pemegang taruh.

 

“Peneroka Felda bukan sekadar pembekal buah tandan segar kepada FGV, mereka adalah rakan kongsi kami dalam setiap langkah perjalanan. Hari ini, lebih 70% BTS kami datang daripada peneroka dan pekebun kecil Felda dan perkongsian ini dibina atas dasar kepercayaan, tanggungjawab bersama serta legasi yang kami banggakan untuk teruskan,” katanya.

 

FGV, yang pernah mencatatkan antara tawaran awam permulaan (IPO) minyak sawit terbesar dunia ketika disenaraikan pada 2012, kini kembali sepenuhnya ke pangkuan Felda.

 

Dalam masa sama, bersempena sambutan Hari Merdeka ke-68 dan Hari Malaysia, FGV turut melancarkan filem pendek bertajuk Warkah Dari Ladang, sebagai penghargaan terhadap dedikasi pekerja ladang iaitu wira tidak didendang dalam sektor perladangan Malaysia.

 

Filem itu yang memaparkan kepelbagaian rakyat Malaysia akan ditayangkan di semua saluran media sosial rasmi FGV dan laman web syarikat.- DagangNews.com