Penurunan harga panel solar ke paras terendah tahun ini berpotensi beri manfaat kepada sektor RE - Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penurunan harga panel solar ke paras terendah tahun ini berpotensi beri manfaat kepada sektor RE - Kenanga

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai – Harga panel solar yang dijangka mencapai paras terendah pada tahun ini berpotensi memberi kesan positif terhadap sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), kata Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan berkata, nilai kontrak EPCC secara keseluruhan yang melonjak kepada RM17.4 bilion berbanding RM12.4 bilion sebelum ini akan terus menjadi penanda aras positif dalam dalam sektor tersebut sehingga akhir 2028.

 

"Setakat ini, sebanyak RM2.9 bilion kontrak telah diumumkan oleh syarikat tersenarai," katanya dalam satu nota kajian.

 

Ketika ini, Kenanga mengenal pasti Solarvest Holdings Bhd sebagai peneraju utama dan menjangka syarikat itu mampu meraih sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pegangan pasaran kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

 

Firma itu turut menjangkakan aliran kontrak baharu akan meningkat dalam jangka sederhana, susulan pelaksanaan semula Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) selain potensi peningkatan hasil daripada tarif baharu.

 

Solarvest kekal sebagai pilihan utama Kenanga memandangkan kedudukan kukuh syarikat dalam pasaran, rekod prestasi pelaksanaan projek yang baik, senarai pelanggan yang kukuh, serta nilai tambah menerusi program pembiayaan sistem solar fotovoltaiknya.

 

Syarikat itu juga mempunyai keterlihatan pendapatan yang kukuh disokong oleh buku kontrak dan tender yang besar, serta pendapatan berulang daripada portfolio aset solar yang terus berkembang.

 

Sementara itu, Pekat Group Bhd pula menonjol hasil projek solar atas bumbung bagi segmen kediaman dan komersial yang menawarkan margin tinggi. 

 

Namun, pemacu utama pertumbuhan syarikat itu ketika ini ialah pengambilalihan perniagaan suis terbaharunya.

 

Anak syarikatnya, EPE Switchgear (M) Sdn Bhd, adalah antara empat pembekal utama suis gear voltan sederhana kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan dijangka meraih manfaat daripada perbelanjaan modal besar di bawah tempoh kawal selia (Regulatory Period 4) TNB.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor RE. - DagangNews.com