Penulis mesti fasih faham kandungan kontrak, elak ditindas penerbit mulut manis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penulis mesti fasih faham kandungan kontrak, elak ditindas penerbit mulut manis

Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor

Saya mula menulis pada usia remaja — ketika suara masih belum tegap dan tangan masih berbau seragam sekolah menengah. Dunia penulisan tidak datang dengan sambutan gemuruh, tiada bunga atau syiling yang digugurkan dari langit.

 

Yang ada hanya helaian-helaian kertas berselerak, pena berisi dakwat murah, dan semangat yang membuak-buak dalam dada remaja kampung yang tidak kenal makna putus asa. Mungkin bakat dari aruah ayah saya seorang ulama yang banyak menulis buku agama dan meminati sastera Arab kerana pergi ke Makkah dari sembilan tahun.

 

Cerpen dan puisi pertama saya disiarkan sewaktu di tingkatan satu di majalah sekolah, dan sejak itu, pena ini tidak pernah berhenti. Saya menulis hampir segalanya: cerpen, puisi, novel, anekdot, catatan pengalaman, dan percikan pengetahuan hasil pengamatan dalam dan luar negara. 

 

Ratusan karya telah saya hasilkan. Dan dalam perjalanan panjang ini, saya telah memenangi lebih 40 hadiah sastera — pengiktirafan yang menjadi saksi bahawa pena saya bukan picisan, dan suara saya tidak sia-sia.

 

Namun, hari ini, setelah rambut memutih dan langkah melambat, saya ingin mengangkat satu perkara yang selama ini membekas luka dalam kalangan penulis seperti saya: Royalti 10% — adakah ini logik, atau sebenarnya satu bentuk buli yang dihalalkan industri?

 

Antara Maruah dan Muslihat

Saya pernah menerbitkan karya di bawah pelbagai penerbit: yang mapan dan tersohor, yang swasta dan baharu, yang berasaskan idealisme, dan tidak kurang yang berlandaskan komersial semata-mata. Ada penerbit yang jujur — seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), dan juga PENA — mereka membayar walau kadang lewat, tetapi tidak berbohong. Saya masih menghargai mereka atas kejujuran dan rekod yang relatif bersih.

 

Namun saya juga pernah berurusan dengan penerbit yang hanya pandai bercakap manis di permulaan, tetapi diam seribu bahasa setelah buku diterbitkan. Penyata jualan tidak dikirim, bayaran tidak dilakukan, dan penulis disuruh menunggu seperti peminta hutang. Ada yang hanya membayar satu kali, walhal buku terus dijual dan dicetak semula tanpa notis atau izin bertulis.

 

Paling menyakitkan ialah apabila penulis hanya menerima 10% daripada harga runcit — itu pun kalau dibayar.

 

Buku Terbit, Penulis Terbenam

Dalam industri penerbitan global, royalti 10% dianggap "standard". Ini sering dilaungkan oleh penerbit dan agen hak cipta sebagai satu amalan sedunia. Namun, siapa yang menentukan standard itu? Penulis, atau penerbit? Saya yakin bukan penulis.

 

Ada struktur lebih adil yang dipraktikkan di sesetengah negara, di mana royalti boleh disusun mengikut kadar jualan:

•    <1000 naskhah: 10%
•    1001–2000 naskhah: 11%
•    2001–3000 naskhah: 12%

 

Ini bermakna, semakin laris sesebuah buku, semakin tinggi peratusan yang layak diterima penulis. Itu barulah adil. Tetapi sistem sebegini tidak diendahkan di sini, mungkin kerana ramai penulis tidak pernah diajar untuk menuntut, atau diajar untuk berani berkata "tidak" apabila diperlekehkan.

 

Isu paling besar ialah — ramai penulis tandatangan perjanjian tanpa membaca, memahami, atau merundingkannya.

 

Pena yang Tahu Menulis, Perlu Tahu Membaca Kontrak

Ramai yang begitu teruja ingin melihat buku sendiri di rak kedai, hingga terlupa membaca perjanjian yang ditandatangani. Mereka tidak tahu bahawa sesetengah penerbit mencantumkan klausa licik yang memberikan hak eksklusif selama 10 tahun, tanpa jaminan cetakan, tanpa jaminan bayaran.

 

Penulis wajib membaca perjanjian, memahami setiap istilah, dan berani merundingkan klausa yang tidak adil. Kalau penerbit enggan berunding, itu isyarat awal bahawa kejujuran mereka mungkin setipis kulit kulit buku.

 

Saya belajar hal ini setelah lebih 30 tahun dalam dunia ini. Dan ketika saya mula menerbitkan buku saya sendiri di bawah label Fudzail Publication, barulah saya rasakan kebebasan yang sebenar sebagai penulis.

 

Fudzail Publication: Menulis, Menerbit, Mendapat Hasil Sepenuhnya

Saya bersyukur kerana suatu ketika dahulu, saya mendapat geran kerajaan untuk menerbitkan 10 buah buku. Dengan itu, saya mula menerbitkan sendiri karya-karya saya di bawah label kecil saya sendiri — Fudzail Publication. Kali ini, saya mengawal keseluruhan proses: daripada manuskrip ke kulit buku, daripada cetakan ke pengedaran.

 

Buku-buku saya dibeli oleh peminat setia dan juga oleh perpustakaan di seluruh negara. Yang paling melegakan, hasilnya 100% masuk kepada saya — bukan 10%, bukan cebisan habuan.

 

Buat pertama kalinya, saya berasa bahawa maruah saya sebagai penulis dipulangkan ke tempat asalnya.

 

Tetapi, tidak semua penulis mampu atau bersedia untuk menerbitkan sendiri. Maka, sistem penerbitan yang ada mesti diperbaiki demi kelangsungan ekosistem sastera negara.

 

Menulis Bukan Amal Jariah Tanpa Timbal Balas

Ada suara sinis yang berkata, "Penulis menulis kerana cinta, bukan kerana duit." Saya tidak menafikan cinta itu — saya telah menulis walau tidak dibayar, walau sakit, walau lumpuh sebelah tubuh, walau kehilangan memori selepas strok.

 

Tetapi itu bukan alasan untuk membenarkan sistem terus menindas.

 

Cinta bukan tiket untuk dieksploitasi. Bahkan cinta kepada penulisan itulah yang sepatutnya dihargai dengan bayaran yang setimpal. Bukan kerana penulis mata duitan, tetapi kerana karya yang baik itu lahir dari kehidupan yang berharga.
Ke Mana Arah Royalti Kita?

 

Saya mencadangkan agar satu garis panduan perjanjian penerbitan dibangunkan secara rasmi — oleh badan seperti DBP, ITBM, atau PENA.

 

Panduan ini boleh merangkumi:

•    Struktur royalti progresif mengikut tahap jualan
•    Klausa hak cetak semula yang jelas
•    Tempoh eksklusiviti yang munasabah
•    Hak penulis terhadap versi e-buku dan cetakan luar negara
•    Penguatkuasaan laporan jualan dan kewajipan penyata tahunan

 

Kita juga perlu mendidik penulis baharu tentang hak mereka — bukan sekadar mengajar mereka menulis, tetapi mengajar mereka bertahan dalam industri yang keras.

 

Akhirnya, Pena Ini Masih Di Tangan Saya

Saya menulis bukan untuk dipuja, tetapi untuk menyampaikan. Saya masih menulis walau jari kaku, mata kabur, dan nafas pendek. Saya masih menulis kerana saya tahu setiap huruf itu adalah amanah — kepada zaman yang lalu dan generasi yang akan datang.

 

Namun saya juga tahu, jika dunia ini mahu terus membaca karya penulis, maka penulis harus terus diberi ruang yang adil untuk berkarya — secara bermaruah dan berhak.

 

Royalti 10% bukan satu kewajaran — ia adalah permulaan kepada perbincangan, bukan penghujung segala rundingan. Jika tidak, kita hanya sedang menanam ladang kata di tanah yang tidak akan pernah subur.

 

Dan saya, sebagai penulis yang telah melewati dekad dan pelbagai bentuk penerbitan, ingin menyatakan dengan tegas:

 

Ini bukan logik. Ini buli. Dan kita mesti melawannya — dengan pena, dengan ilmu, dan dengan keberanian. - DagangNews.com