KUALA LUMPUR 13 Okt – Syarikat teknologi automasi, Pentamaster Corporation Berhad menegaskan kumpulannya tidak terlibat dalam sebarang pelanggaran paten seperti yang didakwa oleh syarikat teknologi United Kingdom (UK), Ocado Innovation Ltd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pentamaster menafikan sekeras-kerasnya dakwaan anak syarikatnya, Pentamaster Equipment Manufacturing Sdn. Bhd. (PEM) dan Pentamaster Solutions Sdn. Bhd. (PSS) terlibat dalam aktiviti atau produk yang dikaitkan dengan tuntutan undang-undang tersebut.
“Kumpulan Pentamaster tidak pernah melanggar mana-mana paten seperti yang didakwa, tidak pernah mengkomersialkan produk berkaitan, dan tidak menjalankan sebarang jualan produk atau perkhidmatan yang disebut dalam tuntutan tersebut,” jelas syarikat itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan Pentamaster hanya berfungsi sebagai syarikat pegangan pelaburan dan tidak terlibat dalam aktiviti operasi secara langsung.
Kedua-dua entiti yang dinamakan dalam writ pindaan Ocado hanya menjalankan aktiviti sah dalam sektor automasi dan tidak berkaitan dengan isu yang dibangkitkan.
Tindakan undang-undang terbaru oleh Ocado termasuk penamaan semula dua anak syarikat dalam Writ Pindaan bertarikh 7 Oktober 2025 dan Pernyataan Tuntutan Pindaan pada 8 Oktober 2025.
Namun, Pentamaster menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar dan tidak bersandarkan fakta operasi sebenar.
“Ahli Lembaga Pengarah kami kekal yakin kebenaran akan muncul tidak lama lagi iaitu Pentamaster bukanlah pihak yang sepatutnya didakwa dalam tuntutan itu.
"Kumpulan akan terus mempertahankan kedudukan kami secara profesional dan berlandaskan undang-undang,” tambah syarikat itu. - DagangNews.com








