KUALA LUMPUR 27 Mac – Peningkatan gaji buruh dan kos logistik muncul sebagai isu kritikal yang menekan prestasi suku tahunan Kim Loong Resources Berhad, kata AmInvestment Bank hari ini.
Dalam nota analisisnya, ia berkata, prospek jangka sederhana namun kekal disokong oleh pertumbuhan pengeluaran tandan buah segar (TBS) dan potensi kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).
Menurutnya, keuntungan bersih kumpulan itu bagi suku keempat FY26 susut 17.9% suku ke suku (QoQ) kepada RM36 juta, dipengaruhi harga produk sawit yang lebih rendah serta peningkatan kos operasi.
"Kenaikan kos buruh susulan pelaksanaan gaji minimum dan caruman KWSP bagi pekerja asing, serta caj pengangkutan naik susulan sekatan berat muatan lori menekan untung Kim Loong," kata AmInvest.
Bagaimanapun tambah firma penyelidikan tersebut, prestasi suku keempat FY26 didapati adalah lebih lemah, manakala keputusan kewangan secara keseluruhan masih dalam jangkaannya.
Bagi tahun penuh FY26, keuntungan bersih kumpulan ini meningkat 4.5% kepada RM169.1 juta, disokong oleh peningkatan volum jualan MSM, dengan pengeluaran TBS berkembang 6.4% tahun ke tahun (YoY).
Segmen perladangan mencatatkan pertumbuhan kukuh apabila hasil kasar meningkat 11.5% kepada RM157.5 juta, manakala segmen pengilangan turut mencatat peningkatan 4.1% kepada RM122.2 juta.
"Keadaan ini, didorong oleh jumlah TBS yang berjaya diproses Kim Loong lebih tinggi, dan pihak syarikat turut mengisytiharkan dividen kasar akhir sebanyak 6 sen sesaham," tambah AmInvest lagi.
Perkembangan itu menjadikan keseluruhan dividen FY26 kepada 14 sen, manakala dari segi prospek FY27, ia menjangka margin pengilangan kekal mampan, dengan kenaikan caj pengilangan menampung kos.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran lebih tinggi RM3.00 sesaham, berbanding RM2.91 sebelum ini, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) FY27 sebanyak 16 kali.
AmInvest namun turut mengambil kira risiko jangka panjang daripada profil pokok sawit matang, kerana 44% kawasan tanaman berusia lebih 16 tahun menjejaskan hasil TBS pada masa hadapan. - DagangNews.com








