Penilaian bebas sahkan sistem aerotren KLIA berfungsi seperti yang dirancang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penilaian bebas sahkan sistem aerotren KLIA berfungsi seperti yang dirancang

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 3 Feb - Penilai rel bebas mengesahkan sistem aerotren Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beroperasi seperti yang dirancang, dengan gangguan perkhidmatan yang diperhatikan sejak pentauliahan adalah perkara lazim yang sering berlaku pada fasa awal operasi sistem rel yang kompleks.

 

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan, berkata penilai mendapati gangguan berkenaan tidak menimbulkan risiko keselamatan kerana kawalan kejuruteraan berstruktur serta pemantauan berterusan telah dilaksanakan bagi mengurus isu tersebut dengan berkesan.

 

“Sepanjang pelaksanaan Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) yang bermula pada 15 November tahun lalu, operasi aerotren kekal stabil dengan mencatat Ketersediaan Perkhidmatan Operasi sebanyak 100% pada Disember 2025, meningkat daripada 98.67% pada Julai 2025, sekali gus mencerminkan tahap ketersediaan sistem yang tinggi ketika aktiviti pemeriksaan, pengujian dan pengesahan dijalankan,” katanya.

 

Penilaian bebas itu mengenal pasti dua sistem kritikal yang mempunyai pengaruh langsung terhadap kebolehpercayaan tren, ketersediaan perkhidmatan dan prestasi pemulihan, iaitu sistem bekalan kuasa dan rolling stock.

 

Bagi sistem bekalan kuasa, walaupun reka bentuk keseluruhan serta sistem perlindungan didapati mencukupi dan secara amnya beroperasi seperti yang dirancang, beberapa aspek seperti kualiti pemasangan, pemantauan keadaan rel kuasa serta kejelasan peranan operasi dikenal pasti untuk diberi tumpuan berterusan bagi memperkukuh kebolehpercayaan jangka panjang.

 

Bagi rolling stock pula, perhatian khusus diberikan kepada peranti pengumpul arus semasa yang mempengaruhi kesinambungan tarikan dan kestabilan perkhidmatan susulan interaksinya yang rapat dengan rel kuasa.

 

Menurut MAHB, CAP telah dilaksanakan menerusi penyelarasan beberapa aliran kerja merangkumi pemeriksaan dan pembaikan, pengujian serta pengesahan sistem dan operasi percubaan.

 

“Aktiviti pemeriksaan dan pembaikan di seluruh sistem aerotren telah disiapkan, dengan program kini berada pada pencapaian akhir bagi menutup baki tindakan pembaikan yang dikenal pasti semasa pemeriksaan menyeluruh sistem,” tambahnya.

 

Dalam tempoh CAP, MAHB berkata waktu kejuruteraan pada awalnya dijadualkan dari 9 malam hingga 7 pagi, namun kemudiannya dipendekkan kepada 11 malam hingga 7 pagi bagi menampung tempoh puncak musim perayaan dan cuti sekolah.

 

MAHB berkata ia akan terus melaksanakan baki langkah CAP secara terkoordinasi dan berkadar, disokong oleh pemantauan berterusan serta pengawasan bebas bagi memperkukuh lagi kebolehpercayaan sistem dan memastikan operasi aerotren yang konsisten di KLIA. - DagangNews.com