Pengumuman PM Anwar bukti kerajaan peka denyut nadi rakyat – Fahmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengumuman PM Anwar bukti kerajaan peka denyut nadi rakyat – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengikuti pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia disampaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu pada 23 Julai 2025. Foto Facebook Fahmi Fadzil
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 Julai – Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan pengumuman khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kepekaan Kerajaan MADANI terhadap denyut nadi rakyat serta komitmen untuk meringankan beban melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk pengumuman cuti tambahan sempena Hari Malaysia 2025.

 

Antara inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri termasuk:

  • Cuti tambahan sempena Hari Malaysia 2025

  • Bantuan tunai one-off RM100 kepada rakyat dewasa

  • Jaminan harga petrol diturunkan kepada RM1.99 menjelang akhir September

  • Tambahan RM300 juta untuk program Jualan Rahmah MADANI

  • Tiada kenaikan tol sepanjang tahun 2025

 

Menteri Komunikasi itu berkata, Kerajaan MADANI akan terus berusaha mengimbangi keperluan meningkatkan kedudukan kewangan negara dengan tanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan rakyat.

 

Beliau berkata, inisiatif yang diambil itu juga adalah hasil pertimbangan teliti dan berlandaskan prinsip keadilan sosial serta kemampanan ekonomi.

 

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas pengumuman langkah-langkah Kerajaan MADANI yang memberikan kelegaan kepada rakyat, serta memacu kestabilan ekonomi negara.

 

“Pendekatan yang diumumkan ini akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, memberikan kelegaan kepada rakyat, di samping mengukuhkan daya tahan fiskal negara dalam menghadapi ketidaktentuan global,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.

 

Terdahulu, Anwar menerusi pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia hari ini antara lain mengumumkan bantuan tunai one-off RM100 kepada rakyat dewasa selain jaminan harga petrol turun kepada RM1.99 menjelan akhir September ini.

 

Turut diumumkan adalah tambahan sebanyak RM300 juta bagi program Jualan Rahmah MADANI serta tiada kenaikan tol sepanjang tahun ini.

 

Sementara itu, Fahmi berkata, selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM), beliau menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyemarakkan semangat cinta kepada tanah air.

 

“Inilah masanya untuk kita bersatu hati dan jiwa, menghargai nikmat kemerdekaan, dan bersama-sama menyumbang kepada kemakmuran negara,” katanya.

 

Dalam masa sama, ujar beliau, kerajaan akan terus memperkukuh agenda pembangunan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan Malaysia MADANI yang sedang digarap demi manfaat rakyat seluruhnya. - DagangNews.com