KUALA LUMPUR 25 Feb – Pengukuhan nilai ringgit ketika ini dijangka tidak menjejaskan daya saing eksport negara secara ketara, malah prestasi perdagangan Malaysia kekal mampan disokong kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dalam keadaan ringgit yang mengukuh, eksport kasar negara terus mencatat pertumbuhan positif sebanyak 6.5% pada 2025 berbanding 5.8% pada 2024.
Menurut beliau, pertumbuhan itu disokong terutamanya oleh sektor E&E yang kekal kukuh, sekali gus menunjukkan kesan keseluruhan pergerakan mata wang terhadap daya saing perdagangan negara adalah terkawal.
“Prestasi eksport Malaysia tidak bergantung semata-mata kepada faktor kos dan pergerakan ringgit. Daya saing negara turut dipacu keupayaan pengeluaran yang mantap serta integrasi kukuh dalam rantaian bekalan global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan yang ingin tahu sama ada pengukuhan nilai ringgit menjejaskan daya saing negara dan apa langkah diambil untuk membantu pengeksport mengurus kesan pergerakan kadar pertukaran itu di Dewan Negara hari ini.
Amir Hamzah berkata permintaan berkaitan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 juga dijangka terus menyokong momentum eksport negara.
Bagi 2025, jumlah pelancong dan pelawat harian ke Malaysia meningkat kepada 42.2 juta berbanding 38.0 juta pada tahun sebelumnya, sekali gus memberi limpahan positif kepada sektor perkhidmatan dan perdagangan.
Dalam pada itu, beliau berkata di bawah tonggak Ketersambungan (Connectivity) Strategi Pelaburan Malaysia, Khazanah Nasional Berhad melalui penswastaan dan transformasi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) merekodkan peningkatan pergerakan penumpang sebanyak 11.2% kepada 104.4 juta pada 2025 berbanding 93.8 juta pada 2024.
Sebanyak 15 syarikat penerbangan baharu turut memulakan operasi ke Malaysia, sekali gus memperkukuh akses dan kapasiti pelancongan negara.
Mengulas kebimbangan terhadap kesan pertukaran hasil eksport dalam dolar Amerika Syarikat (USD) kepada ringgit, Amir Hamzah berkata kebanyakan syarikat pengeksport utama mengambil langkah lindung nilai bagi mengurangkan risiko pergerakan mata wang.
“Kerajaan juga menyediakan pelbagai sokongan pembiayaan melalui Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank), termasuk Skim Insentif Pemampanan Pengeksport berjumlah RM500 juta bagi membantu syarikat memperluas operasi ke pasaran luar negara secara lebih kompetitif.
“Selain itu, EXIM Bank menawarkan Skim Takaful Perlindungan Kredit Perdagangan dengan insentif bayaran sumbangan takaful tahun pertama bagi menggalakkan pengeksport menembusi pasaran bukan tradisional.
“Di bawah Belanjawan 2026, kerajaan turut memperuntukkan RM60 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi pelaksanaan Geran Pembangunan Pasaran dan program Malaysia Go Global, yang memfokuskan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk misi perdagangan, risikan pasaran serta promosi industri bernilai tinggi,” katanya.

Pada masa sama, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) menyediakan jaminan sehingga 70% pembiayaan kepada syarikat pertengahan berorientasi eksport dengan nilai jaminan mencecah RM5 bilion.
Menurut Amir Hamzah, struktur perdagangan Malaysia yang pelbagai dan tidak tertumpu kepada satu pasaran tunggal turut membantu mengurangkan risiko kejutan luaran, selain membolehkan negara memanfaatkan pengukuhan ringgit untuk meneroka pasaran baharu.
Beliau berkata pengeksport digalakkan terus meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kos bagi memastikan daya saing kekal terpelihara dalam persekitaran mata wang yang lebih kukuh.
Terdahulu, Amir Hamzah Azizan berkata sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, nilai ringgit didorong oleh perkembangan global dan domestik, manakala pengukuhan mata wang itu kebelakangan ini mencerminkan persekitaran luaran yang semakin bertambah baik serta prospek ekonomi Malaysia yang kukuh.
Menurut beliau, ringgit meningkat sebanyak 10.1% berbanding dolar Amerika Syarikat (USD) pada tahun 2025 dan turut mencatat kenaikan antara 1.5% hingga 13.9% berbanding mata wang utama serta serantau lain, sekali gus menjadikannya yang tertinggi dalam kalangan rakan serantau bagi tempoh tersebut.
Beliau berkata, apabila mengambil kira purata berwajaran mata wang rakan perdagangan utama Malaysia seperti dolar Singapura, renminbi China dan USD, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit meningkat sebanyak 6.1% sepanjang tempoh berkenaan, sekali gus memberikan gambaran lebih menyeluruh berbanding penilaian kadar dua hala seperti USD/MYR.
Setakat 24 Februari 2026, katanya, ringgit terus mengukuh sebanyak 4.09% kepada paras 3.89 berbanding USD.
Dari sudut global, beliau menjelaskan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat serta peralihan jangkaan ke arah persekitaran kadar faedah lebih rendah dalam kalangan ekonomi utama dunia turut menyokong pengukuhan ringgit.
“Pengukuhan ini juga disokong sentimen pelabur yang positif dalam persekitaran perdagangan dunia yang berkembang, selain aliran pelaburan portfolio dan pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan,” katanya.
Mengulas faktor domestik, Amir Hamzah berkata kenaikan nilai ringgit turut mencerminkan asas ekonomi negara yang sihat, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2025 mencecah 5.2%, mengatasi unjuran awal 4.0% hingga 4.8%.
Momentum itu diperkukuh oleh pertumbuhan 6.3% pada suku keempat 2025, yang merupakan kadar tertinggi dalam tempoh tiga tahun, disokong pengembangan sektor perkhidmatan dan pembuatan dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama ekonomi. - DagangNews.com








