KUALA LUMPUR 27 Jan — Penguatkuasaan lebih ketat pihak berkuasa terhadap lori pengangkutan lebih muatan sejak Oktober 2025 dilihat memberi manfaat secara ketara kepada Malayan Cement Berhad.
Menurut CGS International, keupayaan logistik dalaman dan akses rangkaian rel syarikat itu turut membolehkannya mengekalkan bekalan ketika pesaing perlu berdepan kekangan operasi yang terhad.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan tersebut berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan situasi aktiviti penguatkuasaan berkenaan kerana memiliki armada lori dalaman yang disifatkan amat besar.
"Lokasi loji Malayan Cement yang strategik dan keupayaan penggunaan rangkaian rel dengan akses pelabuhan, turut memastikan penghantaran tidak terganggu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Keadaan positif itu jelas CGSI, mendorong ramai kontraktor memperoleh bekalan simen oleh kumpulan tersebut, dan selain kelebihan logistik, ia kekal positif terhadap prospek kewangan syarikat.
Ia menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 17% bagi FY25 hingga FY28, disokong peningkatan harga jualan purata (ASP) serta faktor kos yang baik.
Menurutnya, ASP yang efektif ke atas Malayan Cement dianggarkan antara RM394 hingga RM401 satu tan, berikutan penyempitan rebat kepada sekitar RM20 satu tan, dan masih berada pada paras diskaun.
"Ini lebih rendah berbanding pesaing yang menaikkan harga pada separuh kedua 2025, dan keadaan itu membolehkan syarikat dapat mengekalkan daya saing harga sambil meningkatkan margin," kata CGSI.
Malayan Cement jelasnya, turut dijangka terus mengukuhkan penguasaan pasaran pengeluaran sekitar 65%, disokong oleh faktor skala operasi yang besar dan rangkaian pengedaran secara menyeluruh.
Tambah firma itu, loji di Langkawi, Kedah dan ruang terminal strategik di Jurong, Singapura memberi kelebihan kepada kumpulan berkenaan untuk mamu meningkatkan lagi eksport ke negara jiran tersebut.
Keadaan itu tambah CGSI, adalah selari dengan pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar dan kenaikan harga simen di republik tersebut, sekali gus memberi kelebihan kepada Malayan Cement.
"Dari sudut pendapatan, kami berpandangan yang anggaran konsensus pasaran masih meremehkan potensi sebenar kumpulan, dan menaikkan unjuran EPS bagi FY26 hingga FY28 antara 27% hingga 32%," katanya.
Perkembangan ini jelasnya, mengambil kira ASP lebih tinggi dan kos arang batu yang lebih rendah, manakala unjuran baharu itu adalah 38% hingga 62% lebih tinggi berbanding konsensus Bloomberg.
Dengan penjanaan aliran tunai bebas (FCF) yang kukuh, dianggarkan pada 65 hingga 79 sen sesaham, CGSI menjangkakan Malayan Cement mampu meningkatkan dividen sesaham (DPS) kepada 16 hingga 19 sen.
Firma itu turut meramalkan kunci kira-kira syarikat akan beralih kepada kedudukan tunai bersih menjelang FY28, dan mengekalkan saranan ‘tambah’ dengan menaikkan harga sasaran kepada RM11.50 sesaham.
"Ini berdasarkan penilaian ke atas aliran tunai terdiskaun (DCF), namun saham syarikat berkenaan diniagakan masih di bawah purata sejarah serta penilaian kontraktor bermodal besar yang lain," tambahnya.
Bagaimanapun, CGSI mengingatkan risiko kelembapan permintaan hartanah dan kelewatan pelaksanaan projek infrastruktur utama yang dikhuatiri boleh menjejaskan Malayan Cement. - DagangNews.com








