Penghapusan pengiraan kadar rata lebih beri kesan kepada segmen pinjaman sewa beli - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penghapusan pengiraan kadar rata lebih beri kesan kepada segmen pinjaman sewa beli - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Okt – Penghapusan penggunaan kadar rata dan kaedah pengiraan faedah Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap dijangka memberi kesan lebih ketara kepada institusi kewangan yang mengutamakan segmen sewa beli termasuk penyedia kredit bukan bank seperti AEON Credit dan ELK-Desa, kata MBSB Research.

 

Katanya, walaupun pindaan ini dilihat positif dari sudut pengguna – khususnya menerusi pengiraan ansuran bulanan yang lebih adil dan telus – ia tetap memberi implikasi kewangan kepada bank, meskipun pada pandangan awal dianggap tidak material.

 

"Pengurangan hasil faedah (walaupun kecil) memberi kesan langsung kepada margin keuntungan bank, terutama bagi institusi yang bergantung kepada pinjaman kadar tetap. 

 

"Namun, perlu diingat bahawa penyelesaian awal pinjaman meningkatkan kualiti aset, kerana ia mengurangkan risiko kegagalan bayaran balik. 

 

"Secara tidak langsung, ia juga boleh mempercepatkan kitaran penggantian kenderaan, yang berpotensi meningkatkan permintaan bagi pinjaman sewa beli baharu," katanya dalam nota penyelidikan terkini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Parlimen lulus RUU hapus amalan bank kenakan caj faedah penuh bagi penyelesaian awal Pinjaman Sewa Beli

 

Pada Rabu, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang bertujuan menghapuskan penggunaan kadar rata dan kaedah pengiraan faedah Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.

 

Peraturan 78 ialah kaedah pengiraan faedah pinjaman yang memberi kelebihan kepada pemberi pinjaman, di mana faedah dikenakan secara “front-loaded”, iaitu sebahagian besar faedah dibayar dalam tahun-tahun awal pinjaman. 

 

Ini mengurangkan penjimatan yang diperoleh peminjam sekiranya mereka membuat penyelesaian awal pinjaman, kerana jumlah faedah telah banyak dibayar di peringkat awal.

 

Pada masa ini, dianggarkan sekitar 30% peminjam sewa beli membuat penyelesaian awal, namun hanya sebahagian kecil yang melunaskan hutang sebelum tahun kelima – iaitu tempoh di mana caj faedah adalah tertinggi.

 

"Pindaan ini hanya terpakai kepada pinjaman baharu. Walau bagaimanapun, kami tidak menolak kemungkinan pihak bank mungkin akan menawarkan bentuk diskaun atau bantuan kepada peminjam sedia ada sebagai usaha menyelaraskan polisi dan reputasi pasaran," ujarnya.

 

Menurut MBSB, perubahan dalam sektor sewa beli ini turut seiring dengan cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menghapuskan Peraturan 78 dalam produk pembiayaan peribadi. Cadangan ini mula diperkenalkan dalam Draf Pendedahan pada Disember 2024, dan telah diperhalusi menjadi Dokumen Polisi yang dikeluarkan pada September 2025.

 

Selain bank, penyedia kredit bukan bank dengan pendedahan besar dalam pembiayaan peribadi, seperti RCE Capital, juga akan terkesan secara langsung.

 

Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) untuk menangani amalan pinjaman yang bersifat memangsakan pengguna, khususnya oleh penyedia kredit bukan bank.

 

Oleh kerana majoriti tumpuan CCOB adalah kepada sektor bukan bank, kesan terhadap bank-bank Malaysia dijangka lebih terkawal, namun kesan jangka panjang masih bergantung kepada pelaksanaan peraturan baharu dan tahap pematuhan industri.

 

Untuk rekod, CCOB telah lebih awal mencadangkan pemansuhan Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap dalam Kertas Konsultasi 2 (CP2) yang diterbitkan pada April 2023.

 

Sementara itu MBSB turut memberi peringatan Akta Kredit Pengguna 2025 akan diwartakan sebelum akhir tahun ini, yang akan memperkenalkan perlindungan lebih menyeluruh kepada pengguna, termasuk pemantauan ketat terhadap amalan dan caj oleh penyedia kredit bukan bank.

 

Matlamat jangka panjang adalah untuk memperkenalkan Model Pengawasan Twin Peaks, iaitu pengasingan antara pengawasan berhemat dan pengawasan kelakuan pasaran. Buat masa ini, BNM menjalankan kedua-dua peranan, namun struktur baharu ini akan memastikan kawal selia yang lebih khusus dan telus.

 

Perubahan ini dijangka memberi kesan negatif kepada penyedia kredit bukan bank, kerana peraturan berkaitan kelakuan akan mengehadkan kaedah kutipan hutang, pendekatan pemasaran dan kadar caj kewangan yang dikenakan.

 

Disebalik semua peraturan yang dilihat memberi tekanan kepada pemberi pinjaman termasuk bank, MBSB mengekalkan syor POSITIF terhadap sektor perbankan kerana institusi berkenaan disokong oleh asas kewangan yang kukuh, kecairan pasaran yang stabil, serta pematuhan kukuh terhadap rangka kerja kawal selia.

 

Meskipun berdepan beberapa cabaran, sektor perbankan kekal berdaya tahan dengan pulangan dividen yang sangat menarik. 

 

"Kami berpandangan bahawa asas fundamental sektor ini masih kukuh, disokong oleh pendapatan yang teguh (walaupun mengambil kira tekanan terhadap margin faedah bersih), kualiti aset yang terkawal, pemulihan berskala besar, serta pertumbuhan pinjaman yang lebih baik dijangka dalam bulan-bulan akan datang," katanya.

 

Antara saham pilihan utama MBSB ialah RHB Bank, dengan saranan BELI (Harga Sasaran: RM7.21) dan Hong Leong Bank juga dengan saranan BELI (Harga Sasaran: RM21.71). - DagangNews.com