Penggantungan CEO HHRG disambung dua minggu lagi sementara tunggu siasatan dalaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penggantungan CEO HHRG disambung dua minggu lagi sementara tunggu siasatan dalaman

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 April - HHRG Bhd melanjutkan tempoh penggantungan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fong Chee Khuen selama dua minggu lagi sehingga 4 Mei 2025, sementara menunggu hasil siasatan dalaman berkaitan dakwaan salah laku.

 

Syarikat itu berkata, surat rasmi telah dihantar kepada Chee Khuen untuk memaklumkan lanjutan tersebut. 

 

"Sebarang perkembangan akan diumumkan dari semasa ke semasa," kata HHRG dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Chee Khuen pada awalnya digantung selama dua minggu bermula 7 April lalu sebagai langkah berjaga-jaga bagi membolehkan siasatan bebas dijalankan terhadap dakwaan melanggar polisi dalaman dan syarat pekerjaan syarikat.

 

Sepanjang tempoh itu, semua tugas operasi diselia oleh Timbalan Pengerusi Eksekutif, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.

 

Penggantungan beliau berlaku ketika syarikat berdepan pertikaian dengan pemegang saham terbesar, Cfamillie Holdings Sdn Bhd yang dikaitkan dengan keluarga Ch’ng. 

 

Cfamillie ketika ini tidak mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah HHRG.

 

Cfamillie memfailkan tindakan undang-undang untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menyingkirkan keseluruhan Lembaga Pengarah HHRG dan menggantikannya dengan tiga calon pilihannya.

 

Pertikaian berkenaan melibatkan syarikat MG Furniture Sdn Bhd, yang mana HHRG memiliki 51% saham selepas buat perjanjian dengan Cfamillie pada tahun 2022.

 

Ketika ini, siasatan berkaitan MG Furniture sedang dijalankan dengan kelulusan mahkamah.

 

Sebagai sebahagian daripada siasatan tersebut, HHRG turut memperoleh perintah mahkamah untuk menghalang Pengarah Urusan MG Furniture, Ch’ng Chen Mong; Pengarah, Tan Poh Cheng; serta anak mereka, Ch’ng Boon Sin yang semuanya dari keluarga Ch’ng, daripada memasuki premis syarikat kecuali atas urusan rasmi dengan notis awal. - DagangNews.com