KUALA LUMPUR 20 April — Keuntungan bersih SD Guthrie Berhad dijangka menyusut sehingga 13% bagi suku pertama 2026, didorong oleh pengeluaran rendah walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) naik.
UOB Kay Hian berkata, keuntungan bersih syarikat perladangan itu dianggarkan sekitar RM400 juta, disebabkan faktor penurunan penuaian tandan buah segar (TBS) dalam musim pengeluaran yang rendah.
Menurut firma penyelidikan tersebut, prestasi suku itu diramal sederhana, namun akan kembali kukuh selaras dengan peningkatan pengeluaran bermusim, serta harga jualan purata (ASP) lebih tinggi.
"Harga MSM meningkat lebih 19% pada Mac 2026 susulan konflik di rantau Timur Tengah yang turut mendorong kenaikan harga minyak mentah global disebabkan gangguan bekalan," katanya dalam nota.
Peningkatan berkenaan jelas UOBKH, turut disokong oleh faktor peningkatan penggunaan biodiesel yang berasaskan minyak sawit, sejajar dengan lonjakan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa.
Faktor harga yang kukuh itu namun tidak mencukupi untuk mengimbangi kelemahan pengeluaran, apabila output SD Guthrie bagi dua bulan pertama 2026 susut sekitar 4% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Walaupun prestasi awal tahun ini adalah lemah, firma itu pandangan sasaran pertumbuhan pengeluaran syarikat berkenaan masih lagi boleh dicapai, disokong oleh peningkatan bermusim sepanjang tahun.
"Selain itu, segmen hiliran kumpulan perladangan ini juga dijangka mencatat prestasi lebih lemah bagi suku ke suku (QoQ) berikutan kekurangan bekalan bahan mentah untuk diproses," kata UOBKH.
Berdasarkan kepada perkembangan tersebut, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran RM6.90 sesaham, didorong prospek pertumbuhan jangka sederhana yang diramal kukuh.
Ia turut menggemari SD Guthrie kerana profil usia ladangnya yang baik serta potensi pertumbuhan lain menerusi segmen baharu seperti tenaga boleh diperbaharui (RE) dan usaha pembangunan industri.
Tambah UOBKH, saham kumpulan berkenaan dilihat terus kekal sebagai pilihan utama syarikat bermodal besar dalam sektor perladangan bagi memanfaatkan persekitaran harga MSM yang tinggi ketika ini.
"Secara keseluruhan, walaupun berdepan tekanan jangka pendek, SD Guthrie Berhad diramal kembali mencatat prestasi lebih baik seiring pemulihan pengeluaran dan kekuatan harga komoditi," katanya. - DagangNews.com








