Pengeluaran getah asli merosot 24.1% pada Februari 2026 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran getah asli merosot 24.1% pada Februari 2026 - DOSM

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 April - Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia mencatatkan penurunan ketara hampir 40% tahun ke tahun kepada 21,705 tan pada Februari 2026 berbanding 36,005 tan dalam tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Secara bulanan, pengeluaran turut susut 24.1% daripada 28,579 tan pada Januari 2026, mencerminkan cabaran berterusan dalam sektor tersebut.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran pada Februari sebahagian besarnya disumbangkan oleh pekebun kecil yang merangkumi 87%, manakala estet hanya menyumbang 13%.

 

Dalam pada itu, stok getah asli meningkat 3.3% kepada 139,985 tan berbanding 135,534 tan pada Januari, dengan majoriti disimpan di kilang pemproses getah (78.5%), diikuti kilang pengguna getah (21.4%) dan estet (0.1%).

 

Dari segi perdagangan, eksport NR Malaysia menurun 20% kepada 33,897 tan pada Februari 2026 berbanding 42,386 tan pada bulan sebelumnya.

 

China kekal sebagai destinasi utama eksport dengan pegangan 48.9% daripada jumlah keseluruhan, diikuti Jerman (17.8%), Emiriah Arab Bersatu (10.1%), Portugal (3.5%) dan Brazil (3.2%).

 

Menurut DOSM, prestasi eksport disokong oleh produk berasaskan getah seperti sarung tangan, tayar, tiub dan benang getah.

 

“Sarung tangan getah kekal sebagai penyumbang utama eksport dengan nilai RM0.9 bilion pada Februari 2026, namun menurun 23.9% berbanding RM1.3 bilion pada Januari,” katanya.

 

Dari sudut harga, trend menunjukkan peningkatan sederhana dengan harga lateks pekat naik 1.8% kepada 586.69 sen sekilogram, manakala getah sekerap meningkat 2% kepada 631.13 sen sekilogram.

 

Di peringkat global, harga Technically Specified Rubber 20 turut meningkat 4.5% kepada AS$1.93 sekilogram pada Februari, manakala harga Singapura/Malaysia naik 5.4% kepada AS$2.26 sekilogram.

 

Perkembangan ini mencerminkan dinamik pasaran yang bercampur, dengan tekanan terhadap pengeluaran domestik tetapi disokong oleh pemulihan harga komoditi di pasaran antarabangsa.  - DagangNews.com