KUALA LUMPUR 28 Okt – Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mengalu-alukan keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk memberikan pengecualian tarif bagi produk terpilih dari Malaysia termasuk minyak sawit, di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang baharu dimeterai antara kedua-dua negara.
Langkah itu dilihat mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran AS, ketika perdagangan dua hala menunjukkan prestasi kukuh dengan peningkatan berterusan eksport minyak sawit Malaysia ke negara itu sepanjang dua tahun lepas, disokong oleh permintaan tinggi daripada sektor pembuatan berteknologi maju dan barangan pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron berkata, pengecualian tarif sifar bagi minyak sawit Malaysia merupakan perkembangan positif yang akan mengukuhkan lagi daya saing Malaysia di pasaran bernilai tinggi dan berkembang pesat seperti Amerika Syarikat.
“Eksport minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat telah menunjukkan pertumbuhan yang kukuh dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, dan langkah ini akan terus mengukuhkan kedudukan kita dalam pasaran tersebut.
“Kerjasama perdagangan yang lebih erat dengan AS akan memberi manfaat kepada pemain industri serta ekonomi Malaysia secara keseluruhan, khususnya melalui pengembangan sektor hiliran dan integrasi teknologi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi tempoh Januari hingga September 2025, eksport minyak sawit dan produk sawit Malaysia meningkat 8.1% kepada 346,000 tan metrik berbanding 320,000 tan metrik dalam tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh minyak sawit dengan penghantaran meningkat daripada 75,000 kepada 98,000 tan metrik.

Beliau berkata, minyak sawit yang disahkan mampan dan stearin sawit kini merangkumi 79% daripada eksport Malaysia ke AS, digunakan dalam industri bernilai tinggi seperti ramuan makanan khusus dan produk penjagaan diri, yang mempunyai alternatif terhad.
“Perkembangan ini menunjukkan peranan minyak sawit Malaysia yang semakin penting dalam rantaian bekalan Amerika Syarikat,” katanya.
Menurut MPOC, pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO 2.0) dan sistem Sawit Intelligent Management System (SIMS) turut memperkukuh keupayaan Malaysia memenuhi piawaian ketat pembeli di pasaran utama seperti AS.
“Kedua-dua inisiatif ini meningkatkan ketelusan dan kebolehkesanan rantaian bekalan, sekali gus memudahkan integrasi dengan rangkaian antarabangsa serta membuka peluang kepada pengeksport Malaysia dalam segmen pasaran premium.
Walaupun perkembangan perdagangan dengan AS amat menggalakkan, MPOC menegaskan Malaysia akan terus memperluas pasaran ke rantau Sub-Sahara Afrika, Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) serta ASEAN bagi menyokong daya tahan perdagangan jangka panjang, sejajar dengan peningkatan permintaan global terhadap minyak boleh makan dan produk hiliran berasaskan sawit.
“Strategi kepelbagaian pasaran kekal sebagai keutamaan utama bagi memastikan kejayaan berterusan minyak sawit Malaysia di peringkat global,” tambah Belvinder.
Dengan syarat tarif yang lebih baik di AS, peluasan keupayaan hiliran serta agenda kepelbagaian pasaran yang agresif, MPOC yakin dapat mengekalkan pertumbuhan eksport minyak sawit dan memperkukuh peranan Malaysia sebagai rakan dagang yang boleh dipercayai dalam perdagangan dua hala dengan Amerika Syarikat. - DagangNews.com








