KUALA LUMPUR 5 Jun – Bus Cap Bhd, pengeluar bas pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia mencatat perkembangan penting apabila menerima kemasukan tokoh berpengalaman dalam industri pengangkutan sebagai pemegang saham besar baharu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, veteran industri pengangkutan iaitu Datuk Lee Sing Gee kini memegang sebanyak 21.16 juta saham dalam syarikat tersebut, bersamaan 5.52% pegangan ekuiti.
Kemasukan beliau berlaku tidak lama selepas penyenaraian Bus Cap di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 3 Jun 2026.
Lee adalah Pengarah Urusan Wawasan Sutera Travel & Tours Sdn Bhd serta Aerobus Malaysia dan mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam sektor pengangkutan.
Beliau memiliki pengalaman luas dalam operasi bas, pelancongan serta perkhidmatan pengangkutan yang menjadikannya antara pemain berpengaruh dalam industri tersebut.
Di bawah kepimpinannya, perniagaan beliau berkembang sebagai pengendali pengangkutan mapan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk bas ekspres, pengangkutan ke lapangan terbang, bas sewa khas, operasi pelancongan serta perkhidmatan mobiliti korporat.
ARTIKEL BERKAITAN: Saham Bus Cap catat kenaikan 13% pada permulaan dagangan di Pasaran ACE
Aerobus Malaysia pula dikenali dengan perkhidmatan bas antara bandar dan shuttle lapangan terbang yang menghubungkan destinasi utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2 dan Genting Highlands.
Selain itu, perniagaan beliau turut mempunyai pendedahan besar kepada perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang, termasuk penyertaan dalam program transit perbandaran seperti inisiatif bas Smart Selangor.
Secara keseluruhan, operasi pengangkutan Datuk Lee mengendalikan lebih 300 kenderaan termasuk bas, van dan aset mobiliti khas.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bus Cap, Bernard Ng Chong Yan menyambut baik kemasukan Datuk Lee sebagai pemegang saham baharu dan menyifatkannya sebagai perkembangan positif kepada syarikat.
Menurut beliau, pengalaman luas Datuk Lee dalam mengurus perniagaan pengangkutan serta kekuatan aset operasinya memberi pemahaman mendalam terhadap ekosistem industri yang diceburi Bus Cap.
“Sebagai pengeluar bas pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia, Bus Cap memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kapasiti pembuatan, memperbaiki kecekapan operasi serta menyokong keperluan pengendali pengangkutan di Malaysia dan Singapura.
“Dengan kehadiran pelabur berpengalaman dalam industri sebagai pemegang saham utama, memberikan keyakinan terhadap asas perniagaan syarikat, pelan pertumbuhan selepas penyenaraian serta peranan jangka panjang dalam rantaian nilai mobiliti negara,” katanya. - DagangNews.com








