Penganalisis: Tekanan kos 5G jadi cabaran besar CelcomDigi selepas catat untung kukuh bagi 1QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis: Tekanan kos 5G jadi cabaran besar CelcomDigi selepas catat untung kukuh bagi 1QFY26

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 Mei – Tekanan kos rangkaian 5G kini menjadi antara isu kritikal diperhatikan oleh pelabur terhadap CelcomDigi Berhad, meskipun berjaya mencatat pertumbuhan keuntungan lebih kukuh.


Dalam suasana persaingan industri telekomunikasi yang sengit, dua firma penyelidikan kekal positif susulan kejayaan kumpulan memperbaiki margin keuntungan menerusi disiplin kos bagi tempoh 1QFY26.


Antaranya, MBSB Research yang masih lagi terus mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham syarikat telekomunikasi itu dengan harga sasaran (TP) RM3.54 berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun.


"Keuntungan dicatatkan CelcomDogi pada suku pertama naik 7.2% tahun ke tahun (YoY) kepada RM418 juta walaupun hasil perkhidmatan hanya berkembang sederhana 1.7% kepada RM2.72 bilion," jelasnya.


Peningkatan keuntungan tersebut ujar firma berkenaan, banyak disumbangkan oleh langkah kawalan kos dan kecekapan operasi yang dapat berjaya mengurangkan jumlah kos secara keseluruhan sebanyak 3.5%.


Kata MBSB Research, pengurangan kos barang dijual, perbelanjaan jualan dan pemasaran serta kadar cukai efektif rendah membantu margin keuntungan meningkat kepada 13% berbanding 12% tahun lalu.


CelcomDigi tambahnya, ketika ini memulakan perjalanan transformasi struktur kos yang dijangka mampu menjimatkan lagi sekitar RM450 juta pada FY26 dengan 80% daripadanya dipacu oleh teknologi.


"Sebahagian besar penjimatan berkenaan, dijangka datang daripada pengurangan perbelanjaan operasi (opex) termasuk pengoptimuman kos operasi tapak dan perolehan," jelas firma penyelidikan tersebut.


Justeru, MBSB Research berpandangan usaha pengurusan itu penting bagi mengimbangi peningkatan kos operasi masa depan termasuk impak kewangan yang berkaitan dengan Digital Nasional Berhad (DNB).

 

Artikel berkaitan: Untung bersih CelcomDigi naik 8.8% kepada RM422 juta bagi 1QFY26 didorong pengurusan kos lebih cekap

 

CelcomDigi_DagangNews


Pada masa sama ujarnya, perbelanjaan modal (capex) CelcomDigi bagi suku pertama FY26 susut 20.9% YoY kepada RM117 juta berikutan langkah pengurusan modal dan kecekapan perolehan yang berdisiplin.


Di samping itu, ia menyifatkan usaha syarikat tersebut menurunkan nisbah pembayaran dividen kepada hanya 95.5% berbanding 113% sebelum ini sebagai lebih realistik dan mampan dalam jangka panjang.


Sementara itu, RHB Research pula menaik taraf penarafan kumpulan berkenaan kepada ‘beli’ daripada ‘neutral’ dengan TP baharu yang dinaikkan sedikit kepada RM3.60 berbanding RM3.50 sebelum ini.


"Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) CelcomDigi bagi 1QFY26 melonjak 20% suku ke suku (QoQ) dan 9% YoY kepada sebanyak RM418 juta," kata firma penyelidikan tersebut lagi.


Menurutnya, situasi prestasi positif dicatatkan oleh kumpulan berkenaan turut didorong oleh faktor pengurangan dari segi opex termasuk kos peranti dan peruntukan hutang lapuk yang lebih rendah.


RHB Research menambah, hasil perkhidmatan syarikat tersebut masih lagi dipengaruhi faktor bermusim namun tanda awal penstrukturan semula harga pelan pascabayar dan prabayar sudah mula kelihatan.


Ujar firma penyelidikan berkenaan, segmen gentian rumah ditawarkan kumpulan itu turut mencatat pertumbuhan kukuh disokong permintaan yang tinggi terhadap pakej gabungan mudah alih dan gentian.


“CelcomDigi menyasarkan penjimatan kos operasi kasar sekitar RM465 juta pada FY26 dan kami menjangkakan sinergi operasi lebih besar akan dapat mula direalisasikan pada FY27,” katanya.


Selain itu, RHB Research menjelaskan, penjimatan masa depan dijangka datang daripada pengurangan kos sewaan rangkaian, penyusunan semula rangkaian kedai runcit serta migrasi trafik 4G kepada 5G.


Ia namun mengingatkan risiko utama syarikat masih tertumpu kepada persaingan industri, pelaksanaan naik taraf sistem IT dan kemungkinan kerugian DNB lebih tinggi daripada jangkaan. - DagangNews.com