KUALA LUMPUR 30 April – Prestasi pendapatan luar biasa yang dicatatkan IGB REIT bagi tempoh suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penganalisis sendiri.
Mereka dalam analisis berpendapat, momentum kukuh itu dijangka tidak berkekalan lebih lama susulan ketiadaan faktor musim perayaan besar pada suku kedua, yang mengurangkan perbelanjaan pengguna.
Dua firma penyelidikan berbeza, turut mengekalkan pandangan yang berhati-hati walaupun keputusan kewangan syarikat amanah pelaburan hartanah (REIT) itu melepasi atau menepati jangkaan mereka.
Bagi 1QFY26, IGB REIT mencatatkan hasil bersih teras RM168 juta, naik lebih 50% tahun ke tahun (YoY), dipacu perbelanjaan tinggi pengguna bersempena Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Antaranya MBSB Research yang menyifatkan prestasi bagi tiga bulan pertama tersebut yang amat kukuh banyak didorong oleh faktor bermusim sebelum dijangka kembali sederhana pada suku berikutnya.
"Kami menyifatkan pendapatan RM168 juta itu selari jangkaan walaupun mewakil 30% daripada unjuran tahunan, dengan peningkatan suku ke suku (QoQ) adalah 35% susulan lonjakan hasil 25.4%," katanya.
Pertumbuhan IGB REIT itu disokong perbelanjaan musim perayaan yang meningkatkan sewa berasaskan perolehan, serta sumbangan oleh pusat beli-belah Mid Valley Southkey Mall mulai November 2025
Bagaimanapun, MBSB Research menjangkakan pendapatan kembali normal pada 2QFY26 berikutan ketiadaan rangsangan perayaan, manakala kos pinjaman naik 72.5% YoY akibat pembiayaan pengambilalihan aset.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, ia mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM2.84, setelah mengambil kira pulangan agihan yang sederhana sekitar 4.6%.

Sebaliknya, Public Investment Bank melihat prestasi 1QFY26 sebagai lebih kukuh, dengan hasil naik 52.5% kepada RM261.3 juta, manakala pendapatan hartanah bersih (NPI) naik 55.5% kepada RM207 juta.
"Prestasi memberangsangkan itu dipacu kadar sewaan lebih tinggi di Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall, serta sumbangan Mid Valley Southkey Mall sebagai aset kedua terbesar," jelasnya.
Firma penyelidikan tersebut menambah, kadar penghunian adalah kekal hampir penuh antara 98% hingga 99%, sekali gus mencerminkan permintaan kukuh terhadap ruang runcit premium dikendalikan IGB REIT.
Susulan itu, PublicInvest menaikkan unjuran hasil FY26 hingga FY28 secara purata 16% dan menyemak naik TP kepada RM2.90, walaupun mengekalkan saranan 'neutral' berasaskan pulangan dividen 5%.
Pada masa sama, ia bersetuju prospek jangka panjang kumpulan itu kekal stabil, disokong kadar penghunian tinggi, aliran pengunjung yang konsisten, dan potensi semakan kadar sewaan positif.
Namun, beberapa isu utama menjadi perhatian pelabur IGB REIT, antaranya risiko normalisasi hasil selepas lonjakan luar biasa 1QFY26, dan pulangan agihan sederhana berbanding pelaburan alternatif.
"Justeru, walaupun asas perniagaan kekal kukuh, penilaian semasa mengambil kira sebahagian besar potensi pertumbuhan, sekali gus mengehadkan daya tarikan saham dalam jangka pendek," katanya. - DagangNews.com








