KUALA LUMPUR 28 Jan - Penganalisis kekal optimis terhadap prospek pertambahan kontrak Gamuda Bhd dan melihat kelemahan harga sahamnya baru-baru ini memberikan peluang kepada pelabur untuk meningkatkan pelaburan.
Kenanga Research percaya, impak pendapatan kepada kumpulan tidak begitu ketara kerana kontrak pusat data hanya menyumbang 7% daripada buku pesanan tertunggak semasa iaitu sebanyak RM37 bilion.
"Bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 (FY25) dan FY26, andaian perolehan kontrak baharu adalah antara RM17 bilion hingga RM20 bilion termasuk RM3 bilion setiap satu daripada projek pusat data," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, Gamuda dan rakan kerjasama (JV) Ferrovial Construction telah dilantik buat kali kedua sebagai rakan kongsi Penglibatan Kontraktor Awal (ECI) untuk projek hidro pam di Australia.
Dengan dua projek pam hidro dan projek metro, SLR East-Linewide, potensi buku pesanannya di Australia tahun ini adalah sekitar RM20 bilion.
Di bawah perjanjian ECI baru lima bulan, JV Gamuda akan membangunkan rangka kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan untuk menyampaikan projek itu, yang dipanggil Capricornia Pumped Hydroelectric Storage.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) melihat perkembangan itu mengukuhkan lagi pengembangan buku pesanannya untuk tempoh setahun lagi.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" ke atas saham dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM5.50 sesaham.
HLIB kekal positif terhadap saham, memandangkan kitar semula buku pesanannya daripada projek masa hadapan dan mengambil kesempatan dalam ruang tenaga boleh diperbaharui Australia.- DagangNews.com








