Penganalisis jangka SD Guthrie beralih kepada banyak teknologi moden tingkatkan hasil ladang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis jangka SD Guthrie beralih kepada banyak teknologi moden tingkatkan hasil ladang

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 JanSD Guthrie Berhad terus menjadi tumpuan penganalisis pasaran susulan Hari Pelabur yang dianjurkan kumpulan perladangan itu buat julung kalinya bagi menarik minat awam.


Bagaimanapun pandangan firma penyelidikan ke atas prospek saham syarikat itu masih kekal berbeza meskipun mesej strategik disampaikan pengurusan adalah konsisten terutama isu teknologi moden.


Berdasarkan program itu, TA Securities mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM5.63 sesaham, berasaskan unjuran gandaan 19 kali pendapatan pada CY26 serta premium ESG sebanyak 3%.


"Kami mengakui SD Guthrie berjaya mempamerkan transformasi strategik menerusi model bersepadu 'One Stream', dengan peralihan daripada perladangan tradisional kepada perniagaan pelbagai," katanya.


Fokus kepada teknologi kecerdasan buatan (AI), serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) analitik data jelasnya, menyokong peningkatan hasil, kecekapan operasi dan kadar perahan minyak (OER).


Selain itu, TA Securities turut mengambil maklum inisiatif pembukaan nilai tanah dan kepelbagaian perniagaan kumpulan, termasuk penggunaan 2,246 hektar tanah untuk pembangunan perindustrian.


Ia juga boleh dimajukan projek tenaga boleh diperbaharui (RE), di samping sasaran 46 loji biogas menjelang 2030 dan kapasiti solar 1GW selari Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).


"Bagaimanapun, kami berpandangan banyak pemangkin utama diambil kira dalam penilaian saham semasa, dan harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal mendatar RM4,100 setiap tan," kata firma itu.


Unjuran itu jelas TA Securities, susulan paras stok global yang tinggi dan ketiadaan pemangkin seperti mandat biodiesel B-50 di Indonesia, dengan peningkatan pendapatan SD Guthrie masih terhad.


Sebaliknya pula, RHB Research kekal optimis dengan mengekalkan saranan 'beli' dan TP RM6.95 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 24% serta hasil dividen kira-kira 3% bagi FY26.


Ia berkata Hari Pelabur syarikat itu mengukuhkan keyakinan awam terhadap prospek jangka sederhana hingga panjang, dengan pertumbuhan hasil dijangka dipacu peningkatan produktiviti segmen huluan.


"Kami meramalkan peningkatan hasil disokong oleh bekalan tenaga kerja mencukupi, keadaan cuaca yang baik, kecekapan operasi serta kesan positif penanaman semula benih GenomeSelect," jelasnya.


SD Guthrie menyasarkan pertumbuhan buah tandan segar (BTS) tahun ke tahun (YoY) sebanyak 14% di Indonesia, serta masing-masing 5% di Malaysia, Papua New Guinea serta Kepulauan Solomon bagi FY26.


Dalam segmen hiliran, walaupun tekanan margin masih wujud akibat lebihan bekalan dan persaingan sengit, RHB Research melihat pembezaan dari segi keselamatan rantaian bekalan, dan isu kemampanan.


Pengoperasian kilang penapisan dan lemak khusus berkapasiti 450,000 tan setahun di Zon Ekonomi Khas Sei Mangkei, Sumatera Utara pada pertengahan 2026 dijangka menjadi pemangkin tambahan.


"Dari sudut pembukaan nilai tanah, kami menekankan SD Guthrie di kedudukan strategik selari agenda pembangunan kerajaan, dengan perancangan melibatkan 6,217 hektar melalui 10 perjanjian," katanya.


Sekurang-kurangnya tambah RHB Research, tiga pelupusan tanah dijangka diiktiraf sepanjang 2026, yang menyokong sasaran margin kasar RM500 juta hingga RM700 juta setahun daripada aktiviti itu.


Secara keseluruhan, perbezaan analisis TA Securities dan RHB Research mencerminkan situasi pasaran sama ada inisiatif transformasi SD Guthrie masih menawarkan nilai tambah baharu. - DagangNews.com