Penerbangan terus Phnom Penh-Pulau Pinang oleh Cambodia Airways rancakkan industri pelancongan Kemboja dan Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penerbangan terus Phnom Penh-Pulau Pinang oleh Cambodia Airways rancakkan industri pelancongan Kemboja dan Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai - Penerbangan terus yang diperkenalkan oleh Cambodia Airways dari Phnom Penh ke Pulau Pinang akan menyemarakkan lagi industri pelancongan Kemboja dan Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

 

Penerbangan itu menggunakan pesawat Airbus A319 dengan kapasiti 150 penumpang dan beroperasi dua kali seminggu iaitu setiap Khamis dan Ahad bermula minggu lalu.

 

Tourism Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, pelancaran laluan udara itu adalah komitmen bersama kedua-dua negara dalam memperluas akses perjalanan dan membuka lebih banyak peluang kerjasama rentas sempadan.

 

"Ia akan meningkatkan aliran pelancong, membuka ruang baharu bagi aktiviti perniagaan serta memperkukuh pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

 

"Inisiatif ini juga melengkapkan Misi Jualan ke Kemboja yang telah berlangsung dari 19 hingga 22 Jun 2025, sebagai sebahagian daripada usaha aktif Malaysia memperkukuh kedudukannya dalam pasaran serantau," katanya.

 

Tourism Malaysia berkata, penerbangan itu akan menyumbang kepada peningkatan pelancong serta merancakkan lagi kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Kemboja.

 

Pada tahun 2024, Malaysia merekodkan ketibaan seramai 77,342 pelancong dari Kemboja dengan peningkatan ketara sebanyak 47% dalam hasil pelancongan iaitu daripada RM164.2 juta kepada RM240.8 juta. 

 

"Pertumbuhan positif itu mencerminkan keyakinan pelancong yang semakin meningkat, kuasa perbelanjaan yang lebih kukuh serta daya tahan sektor pelancongan.

 

Ketika ini, terdapat sebanyak 41 penerbangan terus mingguan yang menghubungkan Malaysia dan Kemboja yang menawarkan lebih 7,200 tempat duduk. - DagangNews.com