Penerbangan terus Kota Bharu–Jakarta pacu pertumbuhan pelancongan dan pelaburan Kelantan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penerbangan terus Kota Bharu–Jakarta pacu pertumbuhan pelancongan dan pelaburan Kelantan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Mei – Kelantan dijangka menerima lonjakan aktiviti ekonomi serantau susulan pembukaan laluan penerbangan terus Kota Bharu–Jakarta yang bermula 16 Jun ini seterusnya memperkukuh aliran pelancong, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Indonesia.

 

Perkhidmatan udara baharu itu akan beroperasi sebanyak empat kali seminggu menggunakan pesawat Airbus A320, menghubungkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta.

 

Langkah tersebut dilihat sebagai pemangkin penting kepada usaha Kelantan untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pintu masuk baharu di Pantai Timur Malaysia bagi pasaran serantau.

 

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata pembukaan laluan tersebut bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah memberi kesan langsung kepada pengembangan ekonomi negeri.

 

Beliau berkata, sektor pelancongan dijangka menjadi antara penerima manfaat utama susulan peningkatan ketibaan pelancong dari Indonesia ke Kelantan.

 

“Peluang dalam sektor perdagangan rentas sempadan, pelaburan swasta serta kerjasama pendidikan dan kesihatan turut dijangka berkembang.

 

“Hubungan Kelantan dan Indonesia khususnya Jakarta telah lama berakar melalui persamaan budaya, bahasa serta latar masyarakat serumpun. Justeru itu, hubungan ini terus diperkasa bukan sekadar melalui diplomasi rasmi, tetapi juga melalui jaringan rakyat dan ekonomi yang lebih luas,” katanya.

 

Dalam program Kelantan Day di Jakarta, delegasi negeri turut mempromosikan potensi pelancongan Kelantan kepada pemain industri Indonesia.

 

Antara tarikan yang diketengahkan termasuk produk pelancongan budaya, keindahan alam semula jadi, gastronomi tempatan serta perkhidmatan kesihatan berdaya saing di Kota Bharu.

 

Kelantan turut menekankan potensi untuk menjadi hab transit serantau memandangkan kedudukan geografinya yang strategik berhampiran selatan Thailand.

 

Kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada rakan kerjasama di Indonesia yang membantu melancarkan urusan delegasi sepanjang lawatan tersebut.

 

Untuk rekod, laluan baharu ini akan dikendalikan oleh AirAsia dengan kekerapan empat kali seminggu, sekali gus meningkatkan pilihan perjalanan udara antara kedua-dua destinasi.

 

Pelaksanaan penerbangan terus itu dijangka memperkukuh integrasi ekonomi Malaysia–Indonesia serta membuka ruang baharu kepada pertumbuhan ekonomi Kelantan dalam jangka sederhana dan panjang. - DagangNews.com