KUALA LUMPUR 2 Julai - Penerbangan terus Juneyao Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai di China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan merancakkan lagi industri pelancongan ktedua-dua negara.
Penerbangan itu akan beroperasi empat kali seminggu menerusi laluan baharu yang menggunakan pesawat Airbus A320neo dengan kapasiti 162 penumpang.
Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung berkata, penerbangan tersebut dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi kedua-dua destinasi yang terkenal dengan industri pelancongan dan perniagaan.
"Tourism Malaysia kekal komited untuk terus menjalin kerjasama erat dengan syarikat penerbangan dan rakan industri pelancongan dari China demi memastikan pertumbuhan berterusan yang saling menguntungkan.
"Inisiatif ini sejajar dengan strategi negara untuk memperluas capaian pasaran menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), yang akan memberi tumpuan kepada promosi pelancongan budaya dan lestari berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG)," katanya dalam kenyataan.
Laluan baharu itu juga selaras usaha Malaysia dalam memanfaatkan kedudukan Shanghai sebagai pasaran utama pelancong serta hab kewangan global dengan jaringan antarabangsa yang luas, sekali gus memperkukuh Kuala Lumpur sebagai pintu masuk utama ke Asia Tenggara bagi pelancong dari China.
Peningkatan hubungan udara antara Kuala Lumpur dan Shanghai turut menyokong integrasi serantau di bawah kerangka Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam pembangunan pelancongan serantau. - DagangNews.com








