KUALA LUMPUR 3 April — Hasil VS Industry Berhad bagi FY26 hingga FY27 disemak turun secara drastik sehingga 78%, susulan tekanan kos yang lebih tinggi di Filipina, menurut Public Investment Bank.
Firma penyelidikan tersebut menambah, situasi kumpulan berkenaan turut diburukkan lagi dengan faktor persekitaran operasi global yang semakin mencabar, dengan sentimen pengguna masih lemah.
Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'neutral' ke atas saham syarikat tersebut dengan harga sasaran lebih rendah pada 17 sen berbanding 27 sen sebelum ini, berdasarkan penilaian semasa.
"VS Industry terus berdepan dengan tekanan gangguan rantaian bekalan dan peningkatan ketegangan geopolitik, serta risiko kebergantungan tinggi kepada pelanggan utama," kata PublicInvest.
Bagi 2QFY26, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM31 juta berbanding keuntungan RM7.4 juta dalam tempoh sama tahun lalu, disebabkan penurunan ketara kadar penggunaan kapasiti pengeluaran.
Operasi di Filipina menjadi penyumbang utama kelemahan prestasi apabila ada model pengeluaran terganggu akibat kekurangan bahan mentah daripada pembekal utama, selain struktur kos tetap.

PublicInvest berkata, walaupun operasi dijangka pulih secara berperingkat, keuntungan VS Industry hanya boleh dicapai jika tahap pengeluaran ditingkatkan dan mampu mencapai titik pulang modal.
"Syarikat ini perlu meraih hasil RM50 juta setiap suku, namun dari sudut positif, ia berjaya memperoleh 10 model baharu daripada pelanggan utama susulan kontrak beberapa pesaingnya berakhir.
Bagaimanapun, firma itu berpandangan sumbangan model baharu tersebut lebih kepada mengimbangi penurunan volum model sedia ada, dan bukan pemacu pertumbuhan pendapatan yang signifikan.
Prospek jangka pendek VS Industry kata PublicInvest, kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan persekitaran perdagangan global yang semakin meruncing, khususnya akibat konflik di Timur Tengah.
Situasi ketegangan di rantau berkenaan jelasnya, menjejaskan rantaian bekalan bahan mentah global, dan dalam persekitaran ini, ia menjangkakan prestasi kewangan syarikat itu akan terus tertekan.
"Bagi menangani cabaran semasa, pengurusan kumpulan ini memberi fokus kepada strategi pembuatan, peningkatan kecekapan operasi serta kawalan kos yang lebih ketat," tambah firma penyelidikan itu.
VS Industry turut merancang mengurangkan pekerja dan melupuskan mesin yang tidak digunakan sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan bagi menyokong pemulihan. - DagangNews.com








