Pendapatan Q1FY2026 Key ASIC meningkat 60% disokong pesanan kukuh cip AI baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Q1FY2026 Key ASIC meningkat 60% disokong pesanan kukuh cip AI baharu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Nov – Key ASIC Berhad terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran global kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor, selepas melaporkan pertumbuhan pendapatan yang ketara pada suku pertama 2026 (Q1 FY2026).

 

Syarikat itu mencatatkan pendapatan RM6.04 juta pada Q1 FY2026, meningkat 26% berbanding suku sebelumnya dan 60% berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh penghantaran semula ASIC AI dan permintaan perkhidmatan reka bentuk. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Key ASIC berkata, ia turut mencatat pengurangan kerugian operasi melalui pengurusan kos yang berdisiplin serta margin kasar yang lebih baik daripada projek reka bentuk ASIC bernilai tinggi dan produk berasaskan AI.

 

“Sepanjang FY2025–FY2026, syarikat berjaya memperoleh pesanan ulangan bagi ASIC AI ekslusif yang digunakan dalam aplikasi AI peranti dan perubatan, menandatangani kontrak reka bentuk ASIC berbilang tahun bernilai RM10 juta dan memperluas penggunaan cip AI dalam pengimejan dan diagnostik perubatan untuk pengesanan awal penyakit,” katanya.

 

Key ASIC kini memiliki 21 paten diberikan secara global dan 19 paten sedang menunggu kelulusan, merangkumi seni bina ASIC canggih, algoritma AI, reka bentuk berkuasa rendah dan pemecut rangkaian neural, dengan fokus pada teknologi IoT dan AI. 

 

Syarikat itu berkata, ia juga membangunkan blok IP baharu termasuk Phase-Locked Loops (PLLs) dan DDRx memory interface pada node semikonduktor canggih 5nm hingga 28nm, meningkatkan daya saing dalam reka bentuk ASIC berprestasi tinggi dan berkuasa rendah.

 

Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Key ASIC, Eg Kah Yee berkata, FY2025 menandakan titik perubahan utama bagi syarikat, daripada syarikat pembangunan teknologi kepada penyedia penyelesaian AI berskala komersial.

 

“Key ASIC berada pada kedudukan strategik untuk merebut peluang besar dalam pasaran AI global, termasuk dalam diagnostik perubatan, bandar pintar, automotif dan automasi industri.

 

Lembaga Pengarah syarikat menjangkakan pertumbuhan pendapatan berterusan dalam beberapa suku akan datang, disokong oleh saluran pesanan kukuh, pengkomersialan cip AI berkuasa rendah berpatent baharu, pengembangan portfolio IP canggih, kerjasama dalam sektor AI perubatan dan automasi industri, serta penembusan ke pasaran berpotensi tinggi di Asia dan Amerika Utara.

 

Key ASIC Berhad ialah syarikat semikonduktor tanpa kilang yang mengkhusus dalam reka bentuk, pembangunan, dan pengkomersialan ASIC dan penyelesaian system-on-chip untuk aplikasi AI dan IoT dengan fokus pada cip berprestasi tinggi, berkuasa rendah dan boleh diskala untuk HPC, industri, perubatan dan aplikasi peranti pintar. - DagangNews.com