KUALA LUMPUR 18 Feb - Pendapatan Genetec Technology Bhd dianggar mencatatkan peningkatan ketara pada FY25 dipacu tempahan bernilai lebih RM100 juta bagi pemasangan panel badan berkaitan model kenderaan elektrik autonomi (EV) baharu daripada pelanggannya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
CIMB Securities berkata, pesanan baharu itu menandakan pengembangan sulung kumpulan melangkaui sel bateri dan pemasangan untuk pelanggan EV di AS.
"Kumpulan itu menjangkakan untuk memulakan penghantaran bagi projek ini pada suku kedua 2025. Kontrak ini berpotensi menjangkau lima fasa, menunjukkan potensi kukuh untuk pesanan berulang," katanya dalam satu nota kajian.
Dengan kontrak baharu itu, Genetec kini mempunyai pesanan tertunggak sebanyak RM300 juta, dibahagikan antara pelanggan AS dan Eropah manakala buku tendernya berjumlah RM300 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, anggaran buku tender tidak termasuk beberapa projek baharu, seperti program pemasangan separuh trak untuk pelanggan AS yang tidak dinamakan, sistem brek penjanaan semula baharu untuk pelanggan Eropahnya dan sistem storan tenaga bateri tersuai (BESS) untuk aplikasi perusahaan.
Syarikat itu juga memasuki segmen automasi semikonduktor dengan projek sulung pada separuh kedua tahun ini untuk pelanggan peralatan pengeluaran semikonduktor yang berpangkalan di AS dengan operasi di Singapura.
“Kami melihat peluang jangka panjang yang kukuh dalam ruang ini, terutamanya apabila bakal pelanggan Genetec merancang untuk menggandakan kapasiti pembuatan Singapura pada tahun-tahun akan datang.
“Peluasan ini memberikan laluan yang menarik untuk Genetec untuk mewujudkan kedudukan bertapak dalam segmen semikonduktor,” kata CIMB Securities.
Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu menjangkakan RM320 juta dalam tempahan baharu untuk Genetec pada FY25 dan RM360 juta pada FY26, dan telah menyemak semula jumlah unjuran penambahan pesanan untuk FY25 dan FY26 kepada RM680 juta daripada RM450 juta.
"Kami menganggarkan sumbangan pelanggan baharu - terutamanya daripada segmen BESS - antara 5% hingga 10% daripada hasil kumpulan pada FY26 hingga FY27," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM2.20 sesaham berbanding RM1.70 sesaham. - DagangNews.com








