KUALA LUMPUR 18 Feb - Pendapatan Dialog Group Berhad diramalkan meningkat lebih daripada dua kali ganda pada separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25) disebabkan hasil sumbangan hiliran yang lebih baik.
Bagaimanapun, berdasarkan kedudukan rekod setahun penuh, CIMB Securities Research dalam nota kajiannya telah mengurangkan unjuran perolehan yang sepatutnya dicatatkan untuk tahun kewangan 2025 (FY25) kepada FY27.
Situasi tersebut kata firma penyelidikan itu susulan ada berlaku lebihan kos projek tertentu, sumbangan usaha sama (JV) lebih rendah dan andaian margin operasi dikurangkan bagi kerja pembinaan dan penyelenggaraan.
Berikutan semakan semula anggaran pendapatan berkenaan, harga sasaran untuk kumpulan syarikat itu diturunkan daripada RM3 kepada RM2.67 sesaham, walaupun panggilan 'beli' kekal masih lagi tidak berubah.
Dalam nota tersebut, CIMB Securities Research mengunjurkan keuntungan bersih teras untuk Dialog boleh berkembang kepada sebanyak RM316.8 juta pada tempoh 2HFY25, berbanding hanya RM154.6 juta pada 1HFY25.
Keuntungan bersih teras pemain perkhidmatan minyak dan gas itu pada 1HFY25 telah menjunam 46.4 peratus tahun ke tahun (y-o-y), meleset daripada jangkaan, malah firma itu melihat penurunan pada suku kedua 2025 (2QFY25).
Perkembangan kejatuhan ketara prestasi operasi Dialog Group di Malaysia itu, katanya, dilihat sebahagian besarnya didorong oleh segmen hiliran, terutamanya aktiviti kejuruteraan dan pembinaan.
“Semakan saluran kami menunjukkan bahawa dua daripada tiga projek diwarisi Dialog sedang dalam peringkat pentauliahan dan pra-pentauliahan, namun menunjukkan bahawa kos tambahan mungkin akan diperakui.
“Pengiraan kami menunjukkan bahawa lebihan kos mungkin antara RM50 juta hingga RM70 juta. Andaian kami adalah berdasarkan prestasi mantap dalam segmen pertengahan aliran, disokong oleh kadar penggunaan tinggi.
"Ia melebihi 90 peratus untuk terminal bebasnya dan kadar titik yang stabil dalam julat S$6 hingga S$6.5 per meter padu, dengan pendapatan huluan stabil kerana didorong oleh kestabilan harga minyak dan pengeluaran.
“Selain itu, sumbangan usaha sama merosot sebanyak 89.5% y-o-y, terutama disebabkan oleh kerugian daripada perniagaan pelet polietilena tereftalat kitar semula berjumlah kira-kira RM40 juta,” kata CIMB Securities Research.
Pada suku kedua berakhir 31 Disember 2024, lebihan kos melibatkan projek kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), selain isu kemerosotan nilai pelaburan dalam projek petrokimia dan boleh diperbaharui.
Keadaan itu menyebabkan Dialog mengalami kerugian suku pertama sejak kemunculannya di Pasaran Utama kira-kira 25 tahun lalu namun begitu, Dialog berkata ia komited untuk menyiapkan dan menyampaikan projek EPCC ini.
"Lebihan kos dan kerugian projek telah ditangani dan diambil kira apabila projek menghampiri penyiapan," tambahnya. Dialog mula disenaraikan di Papan Kedua bursa pada 1996 sebelum ke Papan Utama (kini Pasaran ACE) pada 2000.
CIMB Securities Research bagaimanapun telah mengurangkan anggaran pendapatan FY25 sebanyak 25.1 peratus untuk mencerminkan pendapatan hiliran yang lebih lemah dan sumbangan JV yang diramalkan lebih rendah.
Bagi unjuran pendapatan FY26 dan FY27, ia telah dinilai masing-masing sebanyak 5.4 peratus dan 6.1 peratus, sebagai mencerminkan andaian margin operasi yang lebih rendah untuk aktiviti pembinaan dan penyelenggaraan.
Walau bagaimanapun, ia bukan petanda buruk untuk Dialog. Merujuk laporan Tinjauan Aktiviti PETRONAS 2025-2027, CIMB Securities Research berkata akan ada kerja pemulihan loji yang skala 'besar-besaran' dalam perancangan.
“Sebagai pemain utama penyelenggaraan darat dengan pengalaman di hab utama seperti di Gebeng, Dialog berada di kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada aktiviti pemulihan ini, khususnya di Kertih (2025) dan Melaka (2026).
"Kami mengekalkan panggilan 'beli' untuk Dialog berikutan pendapatan stabil terminal storan jangkaan pemulihan EPCC dan aktiviti penyelenggaraan sejak 2HFY, iaitu 16 kali ganda harga kepada pendapatan menarik, dan prospek pertumbuhan kukuh di Pengerang," katanya. Saham Dialog ditutup pada RM1.56 semalam. - DagangNews.com








