Pendapatan bersih Chin Teck RM34.08 juta naik 4.7% pada 1QFY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan bersih Chin Teck RM34.08 juta naik 4.7% pada 1QFY2026

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 29 Jan – Chin Teck Plantations Bhd mencatatkan peningkatan sederhana keuntungan bersih bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026 (1QFY2026), disokong harga dan jualan produk sawit yang lebih baik.

 

Menurut pemfailan kumpulan perladangan itu kepada Bursa Malaysia, keuntungan bersih bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Nov 2025 meningkat 4.7% kepada RM34.08 juta, berbanding RM32.55 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Prestasi tersebut didorong oleh purata harga jualan serta volum jualan isirung sawit dan minyak sawit mentah (CPO) yang lebih tinggi. 

 

Namun begitu, harga dan volum tandan buah segar (FFB) mencatatkan penurunan dalam tempoh berkenaan.

 

Chin Teck berkata, manfaat daripada harga dan volum yang lebih menggalakkan itu telah diimbangi oleh lonjakan perbelanjaan lain, yang meningkat kepada RM7.69 juta berbanding hanya RM401,000 sebelum ini, berikutan kerugian nilai saksama lebih tinggi ke atas aset biologi boleh guna serta kerugian pertukaran asing belum direalisasi.

 

Pada Disember 2025, kumpulan itu telah mengesahkan dividen interim pertama sebanyak lapan sen serta dividen khas 12 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026 (FY2026).

 

Dari segi operasi, Chin Teck memaklumkan ketegangan di kampung-kampung sekitar ladangnya di wilayah Lampung, Indonesia, masih menjejaskan aktiviti penuaian FFB secara rutin. 

 

Bagaimanapun, aktiviti penuaian dan operasi kilang telah disambung semula dengan 53.61% daripada keseluruhan kawasan tanaman kini boleh diakses.

 

Sementara itu, penuaian di ladang matang milik usaha sama di wilayah Sumatera Selatan masih tertangguh sementara menunggu kelulusan pihak berkuasa susulan ketegangan di kampung berhampiran.

 

Melihat ke hadapan, Chin Teck berkata, harga CPO dijangka kekal kukuh tahun ini.

 

Namun, kumpulan itu mengulangi jangkaan bahawa pendapatan bagi FY2026 akan lebih rendah berbanding tahun kewangan lalu yang mencatatkan keuntungan luar biasa hasil pelupusan tanah oleh syarikat bersekutu.

 

Menurutnya, sumbangan daripada syarikat bersekutu West Synergy Sdn Bhd, yang dimiliki 40%, dijangka lebih rendah memandangkan penjualan tanah berskala besar tidak dijangka berulang.

 

Sebelum ini, syarikat bersekutu itu telah menyelesaikan penjualan tanah kepada unit Gamuda Bhd pada FY2025. - DagangNews.com