Pemulihan semikonduktor global dijangka terus kukuhkan prestasi 4Q Frontken, Maybank IB kekal saranan beli | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan semikonduktor global dijangka terus kukuhkan prestasi 4Q Frontken, Maybank IB kekal saranan beli

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov – Frontken Corp Bhd dijangka menutup suku keempat tahun ini dengan prestasi lebih kukuh berikutan permintaan tinggi semikonduktor yang menunjukkan momentum pemulihan kumpulan dalam kitaran teknologi global yang kembali rancak, kata Maybank Investment Bank Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Frontken kekal berada pada landasan pertumbuhan sihat, disokong peningkatan margin serta pemulihan permintaan pelanggan khususnya dalam segmen semikonduktor.

 

Menurut firma itu, prestasi kumpulan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 (9M25) adalah stabil dan selari dengan jangkaan pasaran, dengan keuntungan teras meningkat 29%.

 

“Pemacu utama pertumbuhan terus datang daripada operasi di Taiwan, yang merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak 16% dalam tempoh tersebut, mencerminkan kekuatan permintaan daripada pelanggan semikon terkemuka.

 

“Sebaliknya, operasi di Malaysia dan Singapura mencatatkan momentum lebih perlahan, namun dijangka meningkat secara beransur-ansur seiring pelaksanaan tempahan baharu serta penyempurnaan kapasiti tambahan,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, margin keuntungan kumpulan semakin baik susulan peningkatan kecekapan operasi dan penggunaan kapasiti yang lebih tinggi, sekali gus menyokong pertumbuhan pendapatan.

 

Maybank IB mengekalkan saranan beli terhadap saham Frontken dengan harga sasaran RM5.19 sesaham, menunjukkan potensi kenaikan kira-kira 16% daripada paras semasa sekitar RM4.52.

 

Saranan positif tersebut didorong oleh tiga faktor utama iaitu pemulihan berterusan dalam industri semikonduktor, margin operasi yang semakin kukuh, serta kedudukan tunai Frontken yang selesa untuk membiayai pengembangan tanpa tekanan.

 

Selain itu, projek penambahan kapasiti termasuk kemajuan operasi di Taiwan dijangka menjadi pemangkin prestasi pada suku-suku berikutnya, sejajar dengan peningkatan aktiviti pelanggan global.

 

Frontken juga sedang menilai potensi pengembangan ke Amerika Syarikat menerusi strategi penggabungan dan pengambilalihan (M&A) serta kemungkinan usaha sama strategik, selaras aspirasi untuk memperluas kehadiran global dalam industri pemprosesan wafer.

 

Namun firma penyelidikan itu turut menegaskan bahawa prospek Frontken tidak terlepas daripada risiko, termasuk kemungkinan kelembapan semula pasaran semikonduktor dan tenaga akibat ketidaktentuan makroekonomi global.

 

Turun naik kadar pertukaran asing terutamanya USD/MYR dan TWD/MYR turut menjadi faktor yang perlu dipantau, selain risiko kelewatan projek atau penangguhan pengoperasian kilang baharu.

 

“Secara keseluruhannya, kombinasi pemulihan permintaan, pelaksanaan kapasiti baharu serta kedudukan kewangan yang kukuh meletakkan Frontken pada kedudukan baik untuk mengekalkan trajektori pertumbuhan jangka sederhana dan menarik minat pelabur institusi serta runcit,” katanya. - DagangNews.com