KUALA LUMPUR 22 Okt – Malaysia terbuka kepada syarikat asing yang ingin menubuhkan usaha sama dengan syarikat tempatan bagi membangunkan mineral nadir bumi (rare earth) di negara ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia mempunyai kelebihan daya saing melalui anggaran simpanan unsur nadir bumi (REE) sebanyak 1.6 juta tan.
“Kita ingin mengalu-alukan syarikat untuk datang dan melabur di sini dan kita juga mahu lebih ramai rakyat Malaysia terlibat, bukan sahaja dalam rantaian bekalan tetapi juga dalam kepentingan ekonomi.
“Maksudnya memiliki ekuiti dan pegangan saham dalam usaha sama ini,” katanya dalam sesi temubual bertema “How Asean’s Economic Prosperity Supports Regional Political Stability”.
Tengku Zafrul berkata, walaupun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) belum menerima sebarang cadangan bagi menubuhkan loji pemprosesan REE baharu di negara ini, Malaysia menyasarkan untuk terlibat dalam aktiviti pemprosesan pertengahan (midstream) dan bukan sekadar mengeksport bahan mentah yang mempunyai nilai ekonomi yang rendah.
Sebelum ini, Malaysia telah menguatkuasakan moratorium menyeluruh terhadap eksport bahan nadir bumi mentah, berkuat kuasa 1 Januari 2024.
Langkah itu bertujuan menggalakkan syarikat menubuhkan industri pemprosesan dan hiliran dalam negara bagi menambah nilai, mewujudkan peluang pekerjaan dan memastikan pemindahan teknologi.
“Dengan mengharamkan eksport REE mentah, mereka secara tidak langsung perlu datang ke sini tanpa mengira dari negara mana mereka berasal.
“Bagi pihak kerajaan, khususnya MITI yang menyelia aktiviti hiliran, kita tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap mana-mana negara untuk membangunkan industri mereka di sini,” katanya.
Tambahnya, dengan menarik syarikat asing menubuhkan loji pemprosesan REE di Malaysia, kerajaan berharap dapat mewujudkan pekerjaan berkualiti, memperluas peluang dalam keseluruhan rantaian bekalan dan meningkatkan hasil kerajaan melalui cukai.
Tengku Zafrul turut memaklumkan Khazanah Nasional Bhd kini sedang berunding dengan syarikat-syarikat dari China bagi meneroka peluang dalam aktiviti hiliran REE.
“Bagi Lynas, mereka sudah pun beroperasi di sini dan merupakan sebuah syarikat swasta sepenuhnya.
“Kita tidak akan menghalang mereka daripada mengeksport ke pasaran pilihan mereka. Dalam kes mereka, eksport telah dibuat ke Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat. Kita mengalu-alukan semua pihak kerana pada akhirnya, Malaysia kekal berkecuali,” katanya.
Ditanya mengenai dasar REE yang berpecah-pecah di kalangan negara ASEAN dan strategi serantau secara kolektif, Tengku Zafrul menjelaskan prinsip dalam ASEAN sentiasa menekankan rundingan isu keselamatan ekonomi dan nasional secara dua hala.
“Saya fikir kebanyakan negara mempunyai dasar yang hampir sama dan kita semua melindungi kepentingan negara masing-masing.
“Pada masa sama, kita mahu jiran-jiran kita berkongsi cabaran yang dihadapi. Itulah yang kita lakukan, terutamanya dalam konteks Priority Economic Deliverables (PEDs) di bawah Tonggak Ekonomi.
“Kita berkongsi teknologi, sekiranya ada, serta idea perdagangan dan rantaian bekalan apabila membincangkan keselamatan rantaian bekalan,” katanya. - BERNAMA








