KUALA LUMPUR 25 Julai - Edisi ketiga The Hasanah Forum 2025 (THF2025) bakal berlangsung pada 14 dan 15 Ogos ini, menghimpunkan lebih 500 pemimpin dan penggerak perubahan dari seluruh negara bagi membincangkan pendekatan baharu ke arah ketahanan nasional.
Bertemakan “Filantropi yang Mendengar: Menjambatani Niat dan Intervensi”, forum dua hari anjuran Yayasan Hasanah itu akan meneliti bagaimana gabungan antara filantropi, dasar kerajaan dan kepimpinan akar umbi mampu menghasilkan rumusan jangka panjang terhadap pelbagai cabaran kritikal negara.
Antara tumpuan utama termasuk tindakan terhadap perubahan iklim, kesaksamaan pendidikan, pemulihan kepercayaan sosial, pemeliharaan warisan budaya dan pembangunan inklusif.
Forum berkenaan bakal dirasmikan oleh Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II Malaysia, yang akan menyampaikan ucapan pembukaan.
“Masyarakat sivil berperanan penting dalam membina ketahanan negara. Forum ini memberi ruang kepada pelbagai pemimpin untuk mendengar dengan niat, bertindak dengan segera dan berintegriti,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki, Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah.

Menurut beliau, sepanjang sedekad kewujudan Yayasan Hasanah, pendekatan memberi telah berkembang daripada sekadar bantuan kepada satu bentuk pendengaran aktif — di mana suara dan keperluan komuniti menjadi panduan utama dalam merangka rumusan lebih responsif dan berimpak.
“Filantropi bukan semata-mata tentang bantuan kewangan. Ia perlu menjadi instrumen untuk memahami realiti rakyat serta memacu rumusan yang lebih adil dan berpaksikan komuniti,” jelasnya.
Tokoh Akar Umbi Diberi Pentas: Penggerak Rumusan Nyata
THF2025 akan menampilkan barisan pencetus perubahan yang dekat dengan isu sebenar di lapangan — mereka yang membawa pengalaman hidup dalam usaha memperbaiki kehidupan dan memperjuangkan keadilan sosial. Antara tokoh yang dijangka menjadi tumpuan:
- Lara Ariffin, Presiden dan Pengasas Bersama RIMAU, yang melindungi harimau Malaya sambil melibatkan komuniti Orang Asli sebagai penjaga hutan di Perak
- Shakri Wahab, Ketua Pasukan Rondaan AP Korbu, RIMAU
- Dr. Louisa Shobhini Ponnampalam, Pengasas Bersama MareCet, pemimpin pemuliharaan mamalia marin menerusi teknologi sonar
- Shaq Koyok, artis dan aktivis Orang Asli yang memperjuangkan warisan melalui seni visual
- Firzana Redzuan, Pengasas Monsters Among Us, yang mengetuai advokasi menangani penderaan kanak-kanak secara sistemik
- Chuah Ee Chia, Pengasas Bersama Iskul Sama DiLaut Omadal, memperjuang pendidikan untuk komuniti Bajau Laut tidak berdokumen di Sabah
- Stevens Chan, pengasas buta bagi Dialogue Includes All, memperkasa OKU melalui platform inklusif
- Alina Amir, Ketua Pegawai Eksekutif ARUS Academy, memacu inovasi dalam pedagogi guru dan murid di seluruh negara
Menyorot Perspektif Asia dalam Filantropi
Forum ini turut memberi penekanan kepada dimensi serantau dan global, dengan kehadiran tokoh-tokoh seperti:
- Dr. Ririn Salwa Purnamasari, Pakar Ekonomi Kanan, Bank Dunia
- Dr. Gabriel Leung, Pengarah Institute of Philanthropy
- Ng Boon Heong, Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Foundation
- Masato Seko, Pengarah Kanan Nippon Foundation
- Antonio G. Lambino II, Presiden Ayala Foundation, pejuang hak pribumi
Turut berkongsi pandangan mereka:
- Prof. Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health
- Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pemegang Amanah WWF
- Helen Clark, bekas Perdana Menteri New Zealand dan penyokong pembangunan inklusif global
Jambatan Antara Niat dan Intervensi
Menurut Siti Kamariah, sebagai yayasan impak nasional, Yayasan Hasanah bertanggungjawab menjunjung agenda negara, namun tetap berakar pada realiti rakyat melalui rangkaian kerjasama yang dipercayai.
"Untuk membina ketahanan jangka panjang, kita perlu menjambatani niat dengan tindakan.”
Sejak diperkenalkan pada 2021, The Hasanah Forum telah berkembang menjadi platform utama untuk wacana impak sosial — satu ruang di mana pemimpin pelbagai sektor berkumpul untuk menukar wacana kepada tindakan nyata.
“Kami amat teruja dengan peningkatan penyertaan golongan muda tahun ini. Ini bukti rakyat Malaysia, khususnya belia, bersedia untuk memacu perubahan dengan segera dan penuh tujuan,” tambah beliau.
THF2025 turut menampilkan pelbagai segmen termasuk Panel Diskusi, Pasar Impak, Bengkel Budaya, Ruang Jaringan dan Dialog Komuniti Rakan Kongsi, semuanya direka untuk mendorong kolaborasi rentas sektor yang bermakna.
THF2025 akan berlangsung pada 14–15 Ogos di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre. Sila layari: thf.yayasanhasanah.org untuk menyertai gerakan ini. - DagangNews.com







