Pemegang saham Seni Jaya lulus usul ambil alih Unilink Outdoor, Vision OOH bernilai RM57.85 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham Seni Jaya lulus usul ambil alih Unilink Outdoor, Vision OOH bernilai RM57.85 juta

Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Seni Jaya Corp Berhad yang diadakan pada 3 Mac 2026.
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 4 Mac - Syarikat media luar rumah (out-of-home, OOH) Seni Jaya Corp Bhd mendapat kelulusan pemegang saham bagi cadangan pengambilalihan Unilink Outdoor Sdn Bhd dan Vision OOH Sdn Bhd dengan nilai keseluruhan RM57.85 juta.

 

Menurut kenyataan syarikat, kelulusan itu diperoleh dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada Selasa.

 

Bagi pengambilalihan Unilink bernilai RM39.5 juta, ia akan dilunaskan melalui bayaran tunai RM11.85 juta dan penerbitan 87.5 juta saham baharu pada harga terbitan 31.6 sen sesaham, bersamaan RM27.65 juta.

 

Sementara itu, pengambilalihan Vision OOH bernilai RM18.35 juta akan dipenuhi sepenuhnya menerusi penerbitan 58.07 juta saham baharu pada harga terbitan yang sama.

 

Secara keseluruhan, sebanyak 145.57 juta saham baharu akan diterbitkan sebagai pertimbangan bagi kedua-dua urus niaga tersebut.

 

“Sifat struktur berasaskan ekuiti ini menyelaraskan kepentingan vendor secara langsung dengan prestasi jangka panjang kumpulan yang diperbesarkan, di samping memelihara sumber tunai dan mengekalkan fleksibiliti kewangan,” menurut kenyataan itu.

 

Dalam pada itu, pemegang saham turut meluluskan cadangan penempatan persendirian sehingga 64.06 juta saham baharu, mewakili sehingga 30% daripada modal saham terbitan sedia ada, kepada pelabur pihak ketiga bebas yang akan dikenal pasti kemudian.

 

Harga terbitan saham penempatan itu akan ditentukan pada diskaun tidak melebihi 20% berbanding purata wajaran volum harga pasaran lima hari sebelum tarikh penetapan harga.

 

Hasil daripada penempatan persendirian berkenaan akan digunakan bagi membiayai bahagian tunai pengambilalihan Unilink, menyokong keperluan modal kerja, membiayai pengubahsuaian pejabat serta menampung perbelanjaan berkaitan.

 

Yang hadir pada EGM tersebut ialah Penasihat bebas BDO Capital Consultants Sdn Bhd Eng Cha Lun; penasihat utama Berjaya Securities Sdn Bhd Tan Chee Ping; Pengawal Kewangan Seni Jaya Jason Thong Syn Chun; Ketua Pegawai Eksekutif Seni Jaya Jeff Cheah See Heong; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Seni Jaya Julian Koh Lu Ern; Pengarah Eksekutif Seni Jaya Ong Kah Hoe; Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Seni Jaya Datin Lee Nai Yee; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Seni Jaya Lee Chin Cheh dan Setiausaha Syarikat Nicholas Tan. - DagangNews.com