Pemegang saham SCGM lulus pengambilalihan Eramas bernilai RM207.9 juta teroka perniagaan makanan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham SCGM lulus pengambilalihan Eramas bernilai RM207.9 juta teroka perniagaan makanan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 Julai — Pemegang saham SCGM Berhad meluluskan pengambilalihan keseluruhan pegangan Eramas Global Group Sdn Bhd bernilai RM207.94 juta dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

 

Persetujuan ke atas cadangan itu membuka laluan kepada transformasi syarikat daripada pengeluar pembungkusan plastik kepada pemain dalam industri pembuatan dan pengedaran produk makanan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata semua empat resolusi yang dibentangkan pada EGM berlangsung di Kulai, Johor hari ini berjaya diluluskan menerusi pengundian secara undi sulit.

 

"Usul biasa kedua yang melibatkan pengambilalihan Eramas meraih sokongan 93.89% atau 48.36 juta saham, manakala 6.11% atau 3.15 juta saham mengundi menentang cadangan tersebut," kata SCGM.

 

Langkah berkenaan jelasnya, akan dilaksanakan melalui penerbitan sejumlah 569.70 juta saham baharu kumpulan itu pada harga terbitan 36.5 sen sesaham sebagai pembayaran penuh kepada tujuh vendor.

 

Eramas yang merupakan syarikat pegangan pelaburan terlibat dalam aktiviti pembuatan, perdagangan, pengedaran dan pemasaran kepada pelbagai produk makanan untuk pasaran tempatan serta luar negara.

 

SCGM_DagangNews2026

 

Selepas urus niaga dimuktamadkan, syarikat itu menjadi subsidiari milik penuh SCGM. Menurut memo kumpulan tersebut, vendor Eramas turut memberi jaminan keuntungan selepas cukai (PAT) terkumpul.

 

"Antara produk utama yang dikeluarkan dan dipasarkan mereka ialah produk berasaskan kelapa, minyak dan lemak, produk tenusu, ramuan makanan khusus serta pelbagai produk makanan lain," tambahnya.

 

Berdasarkan penyata kewangan teraudit Eramas serta pelarasan yang ditetapkan di bawah perjanjian jual beli saham, kumpulan itu menerima obligasi jaminan keuntungan secara stabil oleh vendor berkenaan.

 

Selain itu, pemegang saham SCGM pada EGM tersebut turut meluluskan dividen khas tunai berjumlah kira-kira RM48.14 juta, bersamaan 25 sen sesaham, dengan tarikh kelayakan akan diumumkan kemudian.

 

Turut diluluskan ialah cadangan tawaran jualan sehingga 95.3 juta saham kepada pelabur Bumiputera, pelabur institusi dan pelabur terpilih serta usul pengecualian tertentu selepas urus niaga selesai.

 

"Keputusan pengundian bagi semua resolusi disahkan oleh Symphony Corporate Services Sdn Bhd yang bertindak sebagai pemeriksa bebas bagi EGM tersebut," katanya. - DagangNews.com