KUALA LUMPUR 8 Julai – PNE PCB Berhad memperoleh 'lampu hijau' pemegang saham bagi melaksanakan syor pengurangan modal yang berjumlah RM40 juta dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat itu.
Majoriti mereka turut menyokong usul bagi kumpulan itu mempelbagaikan perniagaan ke dalam sektor peruncitan automotif, sekali gus akan membuka lembaran baharu kepada hala tuju pertumbuhannya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata, semua resolusi yang dibentangkan pada EGM yang berlangsung pada 7 Julai 2026 diluluskan oleh pemegang saham menerusi proses pengundian.
"Resolusi khas cadangan pengurangan modal saham terbitan sebanyak RM40 juta mengikut Seksyen 117 Akta Syarikat 2016 diluluskan dengan sokongan 99.9998% daripada jumlah undi," kata PNE PCB.
Selain itu, pemegang saham meluluskan Resolusi Biasa 1 yang membabitkan cadangan mempelbagaikan perniagaan sedia ada dan anak syarikatnya untuk turut merangkumi perniagaan peruncitan automotif.
Usul tersebut jelas kumpulan itu, berjaya menerima sokongan hampir sebulat suara apabila sebanyak 243.21 juta saham atau 99.9998% daripada undi yang dibuang berjaya memihak kepada syor berkenaan.
Pemegang saham PNE PCB turut meluluskan cadangan mengubah penggunaan hasil yang diperoleh daripada penempatan persendirian pertama melibatkan terbitan 71.156 juta saham dilaksanakan pada 2021.
"Resolusi berkenaan diluluskan dengan sokongan 99.9999% daripada jumlah saham yang mengundi, mencerminkan keyakinan majoriti terhadap perancangan semula penggunaan dana tersebut," tambahnya.
Kumpulan itu turut memperoleh kelulusan bagi cadangan mengubah penggunaan hasil penempatan persendirian kedua melibatkan terbitan 129.357 juta saham yang disempurnakan lima tahun lalu.
PNE PCB berkata, keputusan pengundian bagi semua resolusi disahkan oleh Sharepolls Sdn Bhd yang dilantik sebagai pemeriksa bebas pada EGM diadakan di Menara Lien Ho, Petaling Jaya, Selangor.
Kelulusan tersebut dijangka membolehkan kumpulan meneruskan pelaksanaan strategi korporat termasuk memasuki segmen peruncitan automotif serta mengoptimumkan struktur modal. - DagangNews.com








