KUALA LUMPUR 30 Mac – Pelan pengembangan agresif rangkaian kedai susyi oleh Empire Premium Food Berhad berpotensi meningkatkan pertumbuhan, namun pada masa sama menimbulkan risiko kritikal.
Menurut penganalisis, situasi itu termasuk tekanan kos, kebergantungan kepada lokasi serta persaingan sengit industri makanan apabila 56 cawangan baharu dibuka, namun prospek syarikat kekal positif.
Antaranya, Public Investment Bank berpandangan kumpulan itu berada pada kedudukan kukuh sebagai antara peneraju rangkaian susyi tempatan dengan 143 cawangan milik penuhnya di seluruh negara.
"Kekuatan utama Empire Premium terletak pada model operasi berskala, yang membolehkan pembukaan cawangan baharu secara pantas, disokong sistem bekalan berpusat dan konsisten," katanya dalam nota.
Jelasnya, lokasi strategik kedai Empire Sushi di pusat beli-belah, pasar raya besar, lapangan terbang dan hab transit memberikan kelebihan dari segi keterlihatan jenama serta aliran pelanggan yang stabil.
PublicInvest turut menekankan model 'grab-and-go' diperkenalkan sejak 2010 membolehkan syarikat menawarkan harga mampu milik, sekali gus menjana keuntungan yang lebih baik berbanding pesaing.
Dari sudut penilaian, firma penyelidikan itu menetapkan nilai saksama 98 sen sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 20 kali bagi FY27, dengan jangkaan hasil dividen sekitar 1.8%.
"Ia tinggi daripada tawaran harga permulaan (IPO) iaitu 70 sen sesaham, namun risiko utama termasuk gangguan rantaian bekalan, persaingan, risiko operasi serta perubahan cita rasa pengguna," katanya.
Sehubungan itu, Empire Premium jelas PublicInvest, wajar bersiap sedia dan segera dalam menangani isu-isu tersebut menjelang penyenaraiannya di Papan Utama Bursa Malaysia pada 17 April 2026.

Sementara itu, Malacca Securities menyifatkan kumpulan tersebut sebagai pengendali rangkaian susyi terbesar di Malaysia, disokong pertumbuhan hasil yang kukuh dan strategi pengembangan agresif.
Firma itu mengunjurkan pertumbuhan pendapatan tahunan terkumpul (CAGR) 13.6% bagi tempoh tiga tahun akan datang, dengan keuntungan bersih dijangka mencecah antara RM42.9 juta hingga RM55.6 juta.
"Pertumbuhan positif tersebut didorong oleh pelan membuka 56 cawangan baharu antara FY27 hingga FY29, menggunakan dana IPO sebanyak RM79.1 juta, dan model perniagaan yang boleh diulang," jelasnya.
Katanya, ia terbukti cekap dari segi kos membolehkan syarikat mempercepatkan pengembangan, dengan tempoh pulangan modal yang singkat sekitar lapan hingga sembilan bulan bagi setiap cawangan itu.
Pada masa sama tambah Malacca Securities, pensijilan halal yang meliputi lebih 90% cawangan turut menjadi kelebihan kompetitif dalam menembusi pasaran pengguna secara lebih luas di Malaysia.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan menetapkan harga sasaran (TP) 93 sen sesaham dalam masa 12 bulan yang akan datang, dan mencerminkan potensi kenaikan sekitar 32.9% daripada harga IPO.
"Secara keseluruhan, kami bersetuju yang industri perkhidmatan makanan Malaysia kekal berdaya tahan, disokong peningkatan urbanisasi, pendapatan pengguna dan perubahan gaya hidup," katanya.
Bagaimanapun pelabur perlu mengambil kira risiko seperti kebergantungan tinggi kepada pembekal, lokasi premis penyewaan Empire Sushi serta sensitiviti terhadap trafik pelanggan di pusat komersial tertentu.
Empire Premium Food dilihat berada dalam kedudukan strategik memanfaatkan pertumbuhan pasaran, tetapi kejayaan jangka panjang bergantung kepada keupayaan pengurusan kos. - DagangNews.com








