Pembinaan pusat pengajaran TVET maritim di UMT tingkatkan inovasi penyelidikan negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembinaan pusat pengajaran TVET maritim di UMT tingkatkan inovasi penyelidikan negara

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 15 Okt – Pembinaan ‘Teaching Shipyard TVET Marine’ di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal maritim di negara ini. 

 

Ia bakal menjadi pusat pendidikan dan latihan praktikal maritim yang dibangunkan dengan kemahiran berasaskan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dalam bidang maritim.

 

Pembinaan pusat pendidikan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu.

 

Inisiatif itu selari dengan hala tuju nasional untuk memperkukuh kapasiti tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor perkapalan, logistik, keselamatan perairan dan ekonomi biru negara.

 

Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, pembangunan berterusan ini mencerminkan komitmen universiti dalam merintis masa depan pendidikan sektor maritim negara.

 

“Dengan sokongan kerajaan dan rakan industri, UMT mampu muncul sebagai hab inovasi maritim serantau sekaligus memperkasa pembangunan modal insan dan inovasi teknologi maritim yang menyokong kemajuan ekonomi biru negara,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketika ini, UMT tersenarai dalam kelompok 300 universiti terbaik dunia dalam bidang maritim dan oseanografi.

 

t

 

t

 

Universiti ini menawarkan rangkaian program lengkap seperti Teknologi Maritim, Senibina Kapal, Pengurusan Maritim, Sains Nautika, Pengangkutan Maritim dan Informatik Maritim, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai hab utama pendidikan maritim di Malaysia.

 

Pusat pengajaran pembinaan dan penyelenggaraan kapal itu bukan sekadar ruang pembelajaran, malah berfungsi sebagai platform latihan berasaskan pengalaman sebenar.

 

t
Kapal RV Discovery milik UMT

 

Beliau berkata, pelajar akan  memperoleh kemahiran praktikal yang meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menyediakan mereka untuk memenuhi keperluan industri sebenar.

 

“Selain itu, pusat tersebut akan membuka peluang kepada penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi berimpak tinggi. 

 

“Sinergi kukuh antara ahli akademik dan industri dijangka memperkukuh program maritim di UMT dan menyokong agenda kelestarian serta kemajuan teknologi negara.

 

“Peranan strategik ini juga dijangka memperkukuh daya saing Malaysia dalam sektor maritim global dengan melahirkan modal insan kompeten yang bersedia menghadapi cabaran industry,” katanya.

 

Sebelum ini, UMT sudah memiliki kapal penyelidikan RV Discovery yang banyak menjalankan pelbagai siri penerokaan laut, menjadi salah satu platform praktikal untuk menyokong fokus universiti dalam bidang maritim dan oseanografi. - DagangNews.com