Pembiayaan baharu terus kukuh pacu jualan sektor automotif kembali naik pada 2H26 - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembiayaan baharu terus kukuh pacu jualan sektor automotif kembali naik pada 2H26 - CIMB Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 JulaiSektor automotif dijangka kembali mencatat momentum baik pada separuh kedua 2026 apabila keadaan pembiayaan terus kekal memudahkan pembelian baharu, kata CIMB Securities.

 

Firma itu namun mengingatkan pengeluar dan pengedar masih berdepan cabaran akibat persaingan harga yang sengit, tekanan margin keuntungan serta ketidaktentuan kadar pertukaran wang asing (forex).

 

Justeru, ia mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor ini walaupun menjangka prestasi jualan bertambah baik pada enam bulan terakhir 2026, disokong dasar kerajaan dan pelancaran model baharu.

 

"Kami mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) 2026 iaitu 780,000 unit, susut 5% daripada 2025 dan anggaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 790,000 unit," kata CIMB Securities.

 

Menurutnya, anggaran itu masih mengambil kira persekitaran ekonomi semasa yang banyak cabaran serta tekanan inflasi akibat peningkatan kos tenaga susulan konflik di rantau Timur Tengah.

 

Bagaimanapun, jualan dijangka lebih kukuh pada separuh kedua berdasarkan corak bermusim, yang secara purata menyumbang sekitar 54% daripada jumlah jualan tahunan sepanjang sedekad lalu.

 

sektor automotif_DagangNews2026

 

CIMB Securities menambah, permintaan dijangka terus disokong pelaksanaan subsidi petrol Budi95 sebanyak 200 liter sebulan, selain perluasan subsidi diesel Budi digabungkan mulai 1 Julai 2026.

 

"Langkah itu berpotensi menghidupkan semula segmen pikap selepas jualannya merosot 16.7% dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, rendah berbanding prestasi keseluruhan pasaran," ujarnya.

 

Dalam perkembangan itu, Sime Darby Berhad dijangka menjadi antara penerima manfaat utama menerusi pengedaran jenama Toyota dan Ford, manakala jualan kenderaan elektrik (EV) diunjur berkembang.

 

Situasi berkenaan tambah CIMB Securities, didorong kempen promosi agresif, peningkatan pengeluaran oleh pengeluar nasional dan bukan nasional, serta kemasukan lebih banyak model baharu ke pasaran.

 

Bagaimanapun, ia berpandangan Sime Darby Berhad mungkin berdepan tekanan susulan model EV import siap bina (CBU) dikenakan syarat ketat oleh kerajaan terutama ke atas jenama BYD diedarkannya.

 

"Secara keseluruhan, keuntungan bersih sektor automotif dijangka naik 6.9% pada 2026, disokong pemulihan Bermaz Auto Berhad tetapi MBM Resources Berhad pula diunjur lebih rendah," jelasnya.

 

Ia berikutan jualan Perodua semakin tertekan akibat persaingan daripada Proton, dan CIMB Securities menegaskan pengukuhan ringgit kekal menjadi pemangkin utama sektor. - DagangNews.com