KUALA LUMPUR 4 Nov - Kemajuan Malaysia sebagai sebuah negara membangun mesti dipandu oleh empati dan belas ihsan, dengan memastikan tiada rakyat tersisih dalam mendapatkan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata aspek kemanusiaan merupakan teras utama konsep ‘Negara MADANI’, yang menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pembentukan nilai moral serta etika rakyat.
Sehubungan itu, Anwar yakin penubuhan Kolej Universiti IJN mencerminkan sinergi ideal antara kepakaran dan kemahiran negara, yang bukan sahaja menyediakan rawatan bertaraf dunia, tetapi turut berperanan sebagai pusat ilmu dalam melahirkan generasi profesional yang berilmu, beretika dan berihsan.
“Bayangkan kolej universiti ini menggabungkan pendidikan dan kesihatan yang menjadi tumpuan kita dalam agenda perubahan dan pembangunan negara. Negara ini mampu unggul dengan mutu pendidikan yang tinggi.
“Negara perlu lebih prihatin, empati dan berihsan kepada rakyat, dengan memastikan setiap warga tidak tersisih dalam menerima rawatan dan perkhidmatan perubatan yang baik,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kolej Universiti IJN di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini. - BERNAMA








