KUALA TERENGGANU 14 Mac - Program Pelita Raya Terengganu 2025 yang berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Negeri dekat Gong Badak di Kuala Nerus membuka tirainya, sekali gus menjadi tarikan pelancong terbaharu ke negeri ini.
Melangkah masuk ke lokasi tersebut, pengunjung akan terpesona dengan pelbagai replika dan hiasan gerai yang dipenuhi pelita tradisional, persis berada di zaman silam.
Seorang kakitangan swasta, Muhammad Taufiq Zainal Abidin berkata, setiap tahun dia tidak akan melepaskan peluang hadir ke program tersebut bersama isteri dan tiga anaknya.
"Kami sekeluarga suka mengambil gambar dan video di lokasi penganjuran Program Pelita Raya kerana banyak replika menarik seperti bangunan bersejarah, wau dan ikon pelancongan rasmi Terengganu iaitu penyu.
"Di sini, kita dapat melihat kreativiti lapan pejabat daerah dan 11 agensi serta badan kerajaan yang menyertai pertandingan Pelita Raya.
"Setiap tahun, hiasan yang ditampilkan sangat unik dan keistimewaan ini yang menjadi tarikan untuk pengunjung hadir memeriahkan aktiviti Ramadan di Terengganu," katanya yang datang dari daerah Dungun.
Program yang berlangsung selama empat hari itu adalah anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan tema 'Membudayakan Khazanah Warisan Kita'.



Seorang peniaga, Nurul Huda Abdul Aziz pula berkata, dia gembira apabila dua anaknya teruja dapat melihat sendiri cara generasi terdahulu meraikan kedatangan Ramadan dan Syawal, antaranya menghias perkarangan rumah dengan pelita.
"Di sini, anak-anak saya lebih menghargai alam sekitar kerana banyak juga hiasan yang dibuat menggunakan barangan terpakai seperti tayar, botol, tempurung dan tin biskut pelbagai saiz.
"Ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menggalakkan kempen kitar semula untuk mengurangkan pencemaran yang secara tidak langsung menjadi platform pendidikan kepada anak-anak," katanya.



Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, program tersebut diharap dapat mengangkat martabat dan menjaga seni adat melayu daripada pupus ditelan zaman.
"Khazanah adat warisan Melayu ini perlu sentiasa dipulihara agar dapat diwarisi oleh generasi baharu sebagai budaya turun temurun.
"Ia juga dapat dipromosikan sebagai satu cabang sektor pelancongan yang berasaskan seni budaya dan warisan.
"Kita berhasrat agar Pertandingan Pelita Raya ini akan dimasukkan sebagai salah satu acara utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti," katanya. - DagangNews.com








