KUALA LUMPUR 9 Dis - Pelantikan Rider Gate Sdn Bhd (RGSB), anak syarikat milik penuhnya Ramssol Group Bhd, sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengukuhkan platform Rider Gate, iaitu pasaran dalam talian bagi transaksi motosikal terpakai, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma itu berkata, tiga perkhidmatan yang ditawarkan sebagai ejen kutipan JPJ adalah sangat saling melengkapi dan berpotensi mengurangkan halangan yang lazimnya dikaitkan dengan transaksi motosikal terpakai.
"Kami menjangka platform Rider Gate akan mula memberikan sumbangan yang lebih ketara pada 2026, menyumbang 5-10% daripada unjuran hasil FY26E kami," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun Maybank IB tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan FY25-27E kerana sumbangan Rider Gate telah diambil kira dalam unjuran tersebut.
Maybank IB mengekalkan TP pada MYR1.35 berdasarkan PER FY26E pada 17x yang tidak berubah, selaras dengan purata sejarahnya.
"Pemangkin utama berpotensi termasuk penerimaan insentif cukai dan peningkatan skala segmen AutoTech serta AI Cloud yang lebih pantas," katanya.
Pada 5 Disember 2025, RGSB telah dilantik sebagai ejen kutipan JPJ dan di bawah perjanjian tersebut, RGSB akan menyediakan perkhidmatan meliputi pendaftaran pemindahan hak milik kenderaan bermotor dan pembaharuan lesen, serta memudahkan pembayaran saman elektronik.
Pelantikan itu akan berlangsung selama dua tahun dari tarikh permulaan perkhidmatan JPJ di platform Rider Gate.
Maybank IB menjangkakan perjanjian akan dimuktamadkan menjelang 1Q26. - DagangNews.com








