Pelancaran projek kilang baharu di Elmina Business Park 2, Rawang capai 70% tempahan – Sime Darby Property | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelancaran projek kilang baharu di Elmina Business Park 2, Rawang capai 70% tempahan – Sime Darby Property

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 April – Sime Darby Property Bhd mencatatkan kadar tempahan awal sekitar 70 peratus bagi pelancaran sulung Fasa 1A dan 1B Elmina Business Park 2, yang baru diperkenalkan di Rawang, Selangor.

 

Dalam satu kenyataan, Sime Darby Property berkata sambutan positif itu diterima selepas pelancaran taman perindustrian berkeluasan 600 ekar (242.81 hektar) tersebut pada Januari 2026.

 

“Projek pembangunan berstatus pegangan bebas itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.72 bilion, menjadikannya antara projek industri berskala besar di Lembah Klang.

 

“Fasa baharu itu melibatkan 72 unit kilang serta lot industri dengan keluasan antara dua hingga empat ekar.

 

“Pembangunan tersebut turut menawarkan pilihan konsep bina ikut tempahan (built-to-suit) dan bina untuk disewa (built-to-lease) bagi memenuhi keperluan pelbagai pemain industri,” kata syarikat tersebut.

 

Elmina Business Park 2 terletak kira-kira 2 kilometer di utara Elmina Business Park asal dan berada dalam koridor pertumbuhan industri yang semakin pesat.

 

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Bandar Sime Darby Property, Appollo Leong berkata syarikat terus memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem perniagaan yang mampan dan berdaya saing.

 

Beliau berkata, pembangunan baharu itu menawarkan standard bertaraf dunia serta kelebihan pegangan bebas di kawasan pertumbuhan strategik.

 

Katanya lagi, baki unit yang masih tersedia memberi peluang kepada syarikat untuk mendapatkan tapak industri dalam persekitaran yang menyokong pertumbuhan jangka panjang serta kesejahteraan tenaga kerja.

 

Dalam perkembangan berkaitan, kawasan Elmina Business Park yang lebih besar dijangka menempatkan pusat data berskala besar pertama Google di Malaysia yang dibangunkan oleh Google, dengan pembinaan dijadualkan siap pada suku kedua 2026. - DagangNews.com