Pelan kecemasan digerak pastikan bekalan baja cukup, harga terkawal susulan sekatan eksport global — Noraini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelan kecemasan digerak pastikan bekalan baja cukup, harga terkawal susulan sekatan eksport global — Noraini

Gambar hiasan kredit FGV Holdings Berhad
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Mac — Sekatan eksport baja di pasaran global kini menjadi ancaman serius kepada sektor agri-komoditi negara, menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.


Sehubungan itu, beliau menambah, kerajaan menerusi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sudah mengambil langkah proaktif bagi memastikan bekalan masih kekal mencukupi dan harganya terkawal.


Malaysia ketika ini jelasnya, mengimport antara 4 hingga 5 juta tan baja setiap tahun dengan nilai melebihi RM5 bilion, sekali gus menjadikan negara terdedah kepada isu ketidaktentuan pasaran antarabangsa.


"KPK sudah pun menggerakkan beberapa langkah segera termasuk memperluaskan sumber import melalui rundingan strategik dengan negara pembekal sedia ada dan baharu," kata Noraini dalam kenyataan.


Selain itu, pihaknya mengaktifkan saluran alternatif dalam tempoh enam bulan, dan ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber serta meningkatkan ketahanan rantaian bekalan.


Pada masa sama tambah beliau, pihak kerajaan melalui KPK turut memberi tumpuan kepada kestabilan harga baja di pasaran domestik bagi mengelakkan tekanan kepada pemain industri dan pekebun kecil.

 

Noraini Ahmad
NORAINI AHMAD


Menerusi Belanjawan 2026 jelas Noraini, kerajaan menyediakan peruntukan besar geran dan pinjaman mudah, termasuk pembiayaan kos baja bagi tempoh tanaman yang belum matang hingga tahun ketiga.


"Di samping itu, KPK mempercepatkan transformasi struktur industri melalui baja yang berasaskan biojisim, biogas dan biochar, serta memperkukuh amalan ekonomi kitaran di sektor perladangan," katanya.


Langkah jangka pendek dan sederhana ini ujarnya, dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia import serta meningkatkan kesuburan tanah dan hasil tanaman dalam jangka panjang.


KPK tambah Noraini, sudah memulakan libat urus dengan pengeluar baja tempatan bagi mengutamakan bekalan domestik, menstabilkan harga serta meningkatkan kapasiti industri dalam tempoh sederhana.


Kerajaan akan terus memantau perkembangan global secara rapi dengan keutamaan memastikan bekalan mencukupi, melindungi pekebun kecil dan menjamin sektor agri-komoditi berdaya tahan. - DagangNews.com