Pelan asas MHIT dijangka 40% lebih murah berbanding insurans perubatan swasta – CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelan asas MHIT dijangka 40% lebih murah berbanding insurans perubatan swasta – CIMB Securities

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 23 Jan – Pelan asas insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) yang dicadangkan kerajaan dijangka dapat ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding insurans perubatan swasta bagi golongan dewasa muda.

 

Menurut CIMB Securities, pada ketika ini kadar premium pada julat paling tinggi didapati masih lagi berada di bawah pelan termurah yang mampu ditawarkan oleh kebanyakan syarikat insurans utama di pasaran.

 

Tambah firma penyelidikan itu, premium di bawah pelan asas MHIT dianggarkan 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding caj oleh tiga penyedia insurans perubatan swasta terbesar negara iaitu AIA, Prudential dan Great Eastern.

 

“Jurang premium ini menunjukkan produk MHIT direka untuk bersaing dari segi kemampuan, bukannya liputan menyeluruh, di samping menangani kadar penembusan insurans perubatan yang masih rendah,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Firma penyelidikan itu turut menyatakan had perlindungan tahunan bagi pelan asas MHIT adalah kira-kira 80 peratus lebih rendah berbanding had tahunan pada peringkat rendah yang ditawarkan oleh syarikat insurans swasta.

 

Menurut CIMB Securities, had tahunan yang lebih rendah itu mencerminkan pelan berkenaan disesuaikan untuk menampung prosedur berjumlah tinggi serta kemasukan hospital yang lazim dan kompleks, berbanding kes berintensiti tinggi atau sangat kompleks.

 

Pada masa sama, CIMB Securities berpandangan pelan asas MHIT merupakan langkah penting dalam memperluaskan akses kepada penjagaan kesihatan, sekali gus berpotensi meningkatkan jumlah individu yang dilindungi merentasi semua pengendali insurans dan takaful.

 

“Inisiatif ini dijangka dapat meluaskan kumpulan risiko dalam kalangan pengendali insurans dan takaful yang terlibat, yang berpotensi mengurangkan turun naik tuntutan serta menyokong kestabilan premium dalam jangka panjang,” katanya.

 

Bagaimanapun, firma itu mengingatkan pelaksanaan akan menjadi faktor kritikal, memandangkan ketiadaan sokongan kewangan langsung kerajaan bagi langganan MHIT serta kemungkinan tentangan terhadap struktur bayaran bersama atau deduktibel yang diperlukan, yang boleh menghalang penyertaan golongan B40.

 

Kertas Putih Pelan Asas MHIT yang diterbitkan semalam merupakan usaha kolaboratif bersama antara Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia serta pihak berkepentingan utama bagi menangani inflasi perubatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara.

 

Produk berkenaan disasarkan kepada individu yang masih belum mempunyai perlindungan insurans atau takaful, selain mereka yang mencari alternatif lebih mampu milik berbanding pelan MHIT sedia ada.

 

Penyertaan adalah secara sukarela, dengan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diberi pilihan untuk membayar premium menggunakan simpanan Akaun 2.

 

Pelan asas MHIT dijangka memasuki fasa perintis pada separuh kedua 2026 sebelum dilancarkan ke pasaran secara menyeluruh pada awal 2027.

 

Seiring perkembangan itu, CIMB Securities mengekalkan saranan “Overweight” ke atas sektor penjagaan kesihatan. - DagangNews.com