Pelaburan, Keselamatan Siber Antara Intipati Perbincangan Anwar, PM Kemboja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaburan, Keselamatan Siber Antara Intipati Perbincangan Anwar, PM Kemboja

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbual dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet pada mesyuarat dua hala di Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025.

KUALA LUMPUR 26 Mei (Bernama) - Keperluan memperkukuhkan kerjasama Malaysia dan Kemboja dalam aspek pelaburan dan keselamatan siber adalah antara perkara dibincang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya Hun Manet dalam mesyuarat dua hala hari ini.

 

Anwar berkata antara yang turut disentuh dalam mesyuarat selama hampir 20 minit pada selingan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, ialah keperluan kedua-dua negara untuk terus mengukuhkan hubungan demi manfaat dan kesejahteraan bersama.

 

"Ia (bidang kerjasama) meliputi bidang pelaburan dan perdagangan, industri halal, keselamatan siber, perbankan Islam, tenaga, pertahanan, pelancongan, pertanian serta pendidikan.

 

"Kerjasama erat ini adalah manifestasi kesungguhan kedua-dua negara untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk rantau yang aman, stabil dan makmur," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Turut hadir pada pertemuan itu adalah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

 

Hun Manet yang diiringi isterinya Pich Chanmony serta delegasi tiba di Kuala Lumpur semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

 

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

 

Sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, dua mesyuarat peringkat tinggi yang penting, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya, menjadi platform penting untuk memperluas kerjasama serantau dan antara rantau. - BERNAMA