Pelaburan Hartanah umum pelantikan Mazuki Abdullah sebagai Pengarah Urusan mulai 1 Jan 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaburan Hartanah umum pelantikan Mazuki Abdullah sebagai Pengarah Urusan mulai 1 Jan 2026

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Dis - Pelaburan Hartanah Bhd (PHB), anak syarikat milik penuh Yayasan Pelaburan Bumiputra, melantik Mazuki Abdullah @ Muhammad sebagai Pengarah Urusan Kumpulan yang baharu berkuat kuasa 1 Januari 2026.

 

Beliau menggantikan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif semasa, Mohamad Damshal Awang Damit, yang akan bersara selepas tamat kontraknya pada 31 Disember 2025. Mohamad Damshal menerajui syarikat itu sejak 1 Januari 2023.

 

PHB memaklumkan Mazuki kini merupakan Ketua Bersama Bahagian Hartanah di Permodalan Nasional Bhd (PNB), di mana beliau menyelia portfolio hartanah domestik yang pelbagai dengan jumlah nilai aset melebihi RM12 bilion.

 

Portfolio tersebut merangkumi perbankan tanah, hartanah pelaburan, aset perindustrian dan logistik, selain projek pembangunan aktif. Tanggungjawab beliau turut meliputi Merdeka 118, pembangunan bercampur PNB, serta platform pelaburan hospitaliti Kumpulan PNB.

 

Dengan lebih 25 tahun pengalaman dalam sektor hartanah, strategi korporat dan pelaburan institusi, Mazuki berada pada kedudukan yang baik untuk memimpin syarikat memasuki fasa pertumbuhan seterusnya, kata PHB dalam satu kenyataan.

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Perakaunan dan Kewangan dari University of Kent, Canterbury, United Kingdom.

 

Sepanjang tempoh kepimpinan Mohamad Damshal, beliau menerajui beberapa inisiatif strategik utama bagi memperkukuh proses operasi, rangka kerja tadbir urus dan budaya profesional PHB, selain melaksanakan pemulihan kedudukan kewangan kumpulan.

 

Dalam tempoh berkenaan, PHB merekodkan peningkatan hasil dan keuntungan, di samping kadar penghunian yang lebih baik bagi kebanyakan aset komersialnya.

 

“Dengan asas yang kukuh ini, PHB berada pada kedudukan yang baik untuk terus melaksanakan strategi pertumbuhan dan bergerak ke arah pencapaian sasaran 2027,” tambah syarikat itu. - DagangNews.com