KUALA LUMPUR 6 April — Sentimen pasaran di Bursa Malaysia kembali tertekan apabila pelabur asing menamatkan rentak belian dua bulan dengan beralih menjadi penjual bersih RM42 juta bagi Mac 2026.
Menurut CIMB Securities, perkembangan lemah yang dicatatkan sepanjang bulan tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak terhadap aliran dana masuk asing ke pasaran tempatan.
Kumpulan pelabur luar berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut dilihat banyak memberi tumpuan jualan dana kepada sektor tertentu seperti perkhidmatan kewangan, pembinaan dan telekomunikasi.
"Antara saham dikenal pasti menjadi sasaran jualan mereka pada bulan itu ialah Malayan Banking Berhad (Maybank), Gamuda Berhad dan Telekom Malaysia Berhad (TM)," katanya dalam nota hari ini.
CIMB Securities namun berkata, pelabur institusi tempatan kembali menjadi pembeli bersih dengan aliran masuk sebanyak RM77 juta, berbanding jualan bersih RM1.05 bilion pada bulan sebelumnya.
Belian institusi tempatan jelasnya, tertumpu kepada sektor perkhidmatan kewangan, telekomunikasi dan hartanah, dengan saham yang sama seperti Maybank, TM dan Gamuda antara pilihan utama mereka.
Sementara itu tambah firma penyelidikan tersebut, pelabur runcit tempatan kekal sebagai pembeli bersih bagi bulan yang kedua berturut-turut, namun nilai belian merosot ketara kepada RM39 juta.
"Antara saham pilihan utama mereka ialah AirAsia X Berhad, Sunway Healthcare Berhad dan CIMB Group Holdings Berhad, dengan tumpuan sektor pengguna dan penjagaan kesihatan," kata CIMB Securities.
Dalam pada itu ujar firma berkenaan, pelabur nominee tempatan bertukar menjadi penjual bersih dengan aliran keluar sebanyak RM87 juta selepas mencatatkan belian bersih sepanjang Februari 2026.
Jualan kumpulan tersebut lebih tertumpu kepada sektor tenaga dan perindustrian, melibatkan saham seperti Hibiscus Petroleum Berhad, Petronas Chemicals Group Berhad dan AMMB Holdings Berhad.
Secara keseluruhan, CIMB Securities melihat perubahan aliran ini mencerminkan sikap berhati-hati pelabur asing, meskipun pelabur domestik masih menampan tekanan jualan. - DagangNews.com








