Pelabur asing kembali beli ekuiti RM587.6 juta di Bursa Malaysia, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing kembali beli ekuiti RM587.6 juta di Bursa Malaysia, kata MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 Mac - Ketika bursa serantau mencatat jualan AS$15.68 bilion (RM62.96 bilion), Bursa Malaysia merekodkan aliran masuk pelabur asing sebanyak RM587.6 juta, menurut MBSB Research.


Satu lagi bursa yang turut mencatatkan belian bersih sepanjang minggu lalu ialah Thailand, manakala aliran keluar paling besar di Korea Selatan, diikuti India, Taiwan, Indonesia, Vietnam dan Filipina.


Firma penyelidikan tersebut menambah, para pelabur asing kembali membeli ekuiti di Bursa Malaysia selepas secara dua minggu berturut-turut mereka dilaporkan bertindak sebagai penjual.  


Aliran masuk bersih terbesar minggu lalu pada Rabu (RM191.5 juta), diikuti Jumaat (RM176.2 juta), Khamis (RM112.9 juta), dan Selasa (RM107.0 juta), manakala Isnin cuti gantian Hari Raya Aidilfitri.


"Tiga sektor menyaksikan aliran masuk bersih asing ialah perladangan (RM385.9 juta), perkhidmatan kewangan (RM295.6 juta) dan tenaga (RM139.1 juta)," kata MBSB Research dalam notanya hari ini.


Sementara tiga sektor utama pula, mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu teknologi (RM123.1 juta), perkhidmatan dan produk pengguna (RM89.2 juta) dan pembinaan (RM78.5 juta).


Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan masih mencatatkan aliran keluar bersih iaitu sebanyak RM211.5 juta, secara berterusan untuk tempoh dua minggu yang berturut-turut.


Pada masa sama kata MBSB Research, pelabur institusi tempatan kembali menjadi penjual bersih setelah dua minggu sebagai pembeli, apabila mencatat jumlah aliran keluar RM4.7 juta.


Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah menyusut dengan peruncit tempatan dan pelabur asing masing-masing merosot 0.4% dan 14.7%, manakala institusi tempatan naik 1.1%. - DagangNews.com