KUALA LUMPUR 4 Mei - Pelabur asing meneruskan aliran jualan bersih di Bursa Malaysia bagi minggu ketiga berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar RM85.1 juta, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut menambah, jualan dicatatkan selama tiga daripada empat hari dengan tertinggi pada Khamis sebanyak RM120.9 juta, diikuti Isnin (RM41.9 juta), dan Selasa (RM32.7 juta).
Sementara Rabu merupakan satu-satunya hari dagangan yang mencatatkan belian bersih pada minggu lalu iaitu RM110.4 juta, manakala Jumaat ditutup bersempena dengan cuti umum Hari Pekerja 2026.
"Tiga sektor dengan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah perkhidmatan dan produk industri (RM128.3 juta), teknologi (RM114.2 juta) dan perladangan (RM53.3 juta)," kata MBSB Research dalam notanya.
Sementara tiga sektor utama pula, mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu utiliti sebanyak RM116.9 juta, diikuti hartanah (RM103.1 juta) dan penjagaan kesihatan (RM74.9 juta).
Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan masih meneruskan aliran masuk bersih iaitu sebanyak RM2.2 juta, secara berterusan untuk tempoh tiga minggu yang berturut-turut.
Pada masa sama kata MBSB Research, pelabur runcit tempatan kembali menjadi pembeli bersih setelah dua minggu sebagai penjual, apabila mencatat jumlah aliran masuk sebanyak RM82.8 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah meningkat dengan peruncit tempatan susut 1.0% manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing bertambah 13.9% dan 6.8%. - DagangNews.com








