KUALA LUMPUR 29 Okt – Pelabuhan Melbourne dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang operasi pelabuhan mampan.
Perjanjian itu bertujuan melestarikan amalan hijau, mengurangkan pelepasan karbon serta memperkenalkan inisiatif yang menyokong pembangunan pelabuhan yang lebih efisien dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Majlis pemeteraian MoU tersebut berlangsung semasa acara Australia at ASEAN Business Mission Reception yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 baru-baru ini.
Pertukaran MoU itu disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.
Ia memperincikan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk memajukan amalan hijau dan lestari, mempromosikan penyahkarbonan aktiviti operasi serta meningkatkan tanggungjawab sosial dan tadbir urus.
Kerjasama itu akan berlandaskan tiga tonggak utama iaitu pelepasan maritim dan operasi pelabuhan, bahan api alternatif dan keterangkuman sosial.
Bagi pelepasan maritim dan operasi pelabuhan, kedua-dua pihak akan melaksanakan usaha bersama dalam penyelidikan dan pembangunan, pertukaran amalan terbaik serta sokongan terhadap kerjasama antarabangsa bagi mengurangkan pelepasan dan meningkatkan kecekapan operasi.
Dalam bidang bahan api alternatif, Pelabuhan Melbourne dan Pelabuhan Tanjung Pelepas akan bekerjasama meneroka serta membangunkan penyelesaian tenaga rendah karbon termasuk pembangunan infrastruktur, penjajaran dasar dan perkongsian pengetahuan bagi mempercepat peralihan kepada sumber tenaga mampan.
Sementara itu, inisiatif keterangkuman sosial akan menumpukan kepada promosi amalan pekerjaan inklusif, program latihan dan strategi penglibatan pekerja bagi menggalakkan kepelbagaian dan kesaksamaan dalam tenaga kerja maritim.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pelabuhan Melbourne Saul Cannon berkata, MoU ini mencerminkan komitmen pelabuhan itu untuk menjadi hab maritim berorientasikan masa depan serta menyokong usaha penyahkarbonan rantaian bekalan global.
“MoU ini mencerminkan komitmen kami untuk menjadi pelabuhan berorientasikan masa depan. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas dalam memacu perubahan bermakna dalam sektor maritim serta menyokong penyahkarbonan rantaian bekalan global,” katanya.
Sementara itu, CEO Pelabuhan Tanjung Pelepas, Mark Hardiman pula berkata, sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-25 perjanjian itu adalah bukti keyakinan syarikat bahawa kemajuan dalam kelestarian hanya dapat dicapai melalui kerjasama dan tindakan bersama.
“MoU ini mengukuhkan keyakinan kami bahawa kemajuan bermakna dalam kelestarian mesti berpaksikan kepada perkongsian.
“Melalui rangka kerja bersama dan tindakan kolektif, kami akan mencapai hasil nyata dalam penyahkarbonan operasi pelabuhan dan memperkukuh kerjasama,” katanya.
Perkongsian antara Pelabuhan Melbourne dan PTP bermula pada Jun 2023 menerusi inisiatif Partnerships for Infrastructure (P4I) yang digerakkan oleh Kerajaan Australia melalui Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (DFAT).
Pengarah Strategik Partnerships for Infrastructure, Simon Cramp berkata, kedua-dua pelabuhan berperanan penting dalam menterjemah aspirasi bersama kepada perkongsian praktikal bagi memajukan operasi maritim yang lebih hijau dan pintar di rantau ini.
“Memudahkan kerjasama antara Australia dan Asia Tenggara adalah teras kepada pendekatan Partnerships for Infrastructure, dan kami berbangga menjadi sebahagian daripada perkembangan MoU ini,” katanya.
Kedua-dua pelabuhan itu turut berkongsi visi bersama terhadap pembangunan mampan, dengan kedua-duanya menyelaraskan objektif alam sekitar dan sosial mengikut rangka kerja global seperti United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC), Perjanjian Paris dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).
Malaysia merupakan rakan dagang penting bagi Pelabuhan Melbourne, yang kini menduduki tempat keempat sebagai sumber utama import kontena dan kelima sebagai destinasi eksport mengikut jumlah kontena. - DagangNews.com








