Pekat Group raih kontrak senggara, pembaikan sebanyak RM31.32 juta daripada TNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pekat Group raih kontrak senggara, pembaikan sebanyak RM31.32 juta daripada TNB

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Pekat Group Bhd menerusi anak syarikat milik tidak langsung 60 peratusnya, EPE Switchgear (M) Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM31.32 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan serta pembekalan alat ganti berkaitan rangkaian pengedaran.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat perlindungan pendawaian bumi dan kilat itu berkata kontrak berkenaan ditawarkan melalui surat lantikan (LOA) bertarikh 1 Ogos 2025.

 

Tawaran itu bagi tujuan penyelenggaraan, servis selain pembaikan suis penebat udara serta suis penebat gas termasuk pembekalan dan pemasangan alat ganti.

 

Tempoh kontrak selama dua tahun bermula dari tarikh berkuat kuasa dengan pilihan untuk sambungan selama satu tahun lagi.

 

Tempoh bagi setiap perkhidmatan tertentu akan berdasarkan pesanan pembelian yang dikeluarkan oleh TNB.

 

Pekat berkata, EPE Switchgear dikehendaki menyediakan jaminan prestasi sebanyak RM390,000 dalam tempoh 28 hari dari tarikh LOA serta mendapatkan semua polisi insurans yang berkaitan sebelum memulakan kontrak.

 

Mengenai kesan kewangan, Pekat berkata, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan, pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 sehingga tamat tempoh kontrak itu.

 

"Kontrak ini tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama dalam syarikat berkenaan," katanya.

 

Pekat turut berkata, ia tidak mengetahui sebarang faktor risiko yang berkaitan dengan kontrak itu selain risiko operasi biasa.

 

"Bagaimanapun, syarikat akan mengambil langkah yang sesuai bagi mengurangkan risiko apabila ia berlaku," kata Pekat. - DagangNews.com